DEWAN Negara membenarkan usul tergempar isu tuntutan Filipina terhadap Sabah dibahaskan pada petang Isnin lalu. Isu tuntutan Filipina terhadap Sabah ini berlaku  ketika kita hendak menyambut ulang tahun ke-57 pembentukan Malaysia Rabu depan.

Isu ini bagai duri dalam daging dan sentiasa dibangkitkan dari semasa ke semasa oleh Filipina sejak sekian lama.

Tuntutan berkenaan telah dilakukan oleh Manila sejak sebelum pembentukan Malaysia lagi. Hakikatnya, dari segi sejarah, tuntutan Filipina terhadap Sabah ialah satu cabaran terhadap penubuhan Malaysia.

Namun, tuntutan Manila kepada Kerajaan British itu tidak dilayan oleh London.

Bagi British, Manila tidak mempunyai bukti sahih dan konkrit dari segi undang-undang untuk mengemukakan tuntutan berkenaan. Sebab, kita perlu sedar bahawa kedaulatan Kesultanan Sulu ke atas Sabah atau North Borneo ketika itu, tidak wujud sejak 1878 apabila Perjanjian 1878 berkuat kuasa pada 22 Januari 1878.

Di bawah perjanjian berkenaan, Sultan Sulu berjanji untuk memberikan dan menyerahkan Borneo Utara kepada Syarikat British yang telah diperbadankan secara rasmi oleh Piagam Di-Raja British pada 1881, dan dikenali sebagai British North Borneo Company (BNBC).

Perjanjian 1878 itu telah memindahkan kuasa pentadbiran Borneo Utara daripada Sultan Sulu kepada BNBC. Sejak termeterainya perjanjian 1878, Kesultanan Sulu tidak lagi terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam pentadbiran Borneo Utara.

Tuntutan Filipina ke atas Sabah terkandung dalam perenggan 12 Manila Accord 1963. Hubungan diplomatik Malaysia-Filipina terjejas terutamanya pada peringkat awal penubuhan Malaysia. Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara mengalami pasang surut dari semasa ke semasa disebabkan isu berkenaan.

Tuntutan Filipina terhadap Sabah semakin panas susulan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membuat keputusan membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 km Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport negara itu.  Tindakan itu dianggap satu bentuk provokasi Manila.

Pada Februari 2019, Duta Filipina ke Malaysia, Charles Jose ketika kembali dari melawat Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  bertegas mengekalkan tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Setiausaha Luarnya, Teddy Locsin pada Julai lalu pula mengatakan Sabah bukan dalam Malaysia berdasarkan sejarah pemilikan Sultan Sulu yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara.

Rodrigo Duterte sebelum menjadi Presiden Filipina pada Mei 2016 juga  berkata beliau akan meneruskan tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Filipina telah memulakan tuntutan ke atas Sabah pada 1963 tetapi bersetuju pada 1977 untuk tidak meneruskannya.

Sabah dituntut oleh Filipina berdasarkan tuntutan warisan melalui pertalian tradisi Sabah dengan Kesultanan Sulu. Ini merupakan tuntutan yang kurang berasas, malah tidak relevan. Manila sebenarnya tidak mempunyai asas undang-undang untuk membuat tuntutan terhadap Sabah.

Malaysia sudah menegaskan  berkali-kali tidak akan mengiktiraf dan memenuhi tuntutan mana-mana pihak terhadap Sabah yang secara rasmi menjadi sebahagian daripada Malaysia sejak 1963.

Bagi saya, tuntutan Filipina, tidak perlu dilayan. Untuk sekian lama, Sabah memang milik Malaysia, dan ini diakui oleh PBB dan seluruh dunia. Sudah terang lagi bersuluh, Sabah  tidak akan mungkin dapat dituntut oleh Filipina.

Apakah tujuan pemimpin politik tertentu di negara itu mengemukakan naratif berkenaan? Adakah semata-mata untuk mendapat keuntungan politik? Atau kepentingan ekonomi?

Filipina tidak perlu berangan-angan untuk mendapatkan Sabah kerana rakyat Sabah dan Kerajaan Malaysia akan mempertahankan Sabah sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Sebarang kenyataan mengenai percubaan untuk menuntut Sabah oleh Filipina bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah bersifat provokatif.

Justeru, Kerajaan Malaysia tidak harus berdiam diri dengan percubaan terbaharu ini.

Saya percaya pemimpin tertentu di negara itu akan cuba mengekspolitasikan isu itu sebagai dara untuk mengangkat nama dan menyemarakkan nasionalisme dalam kalangan rakyatnya.

Pemimpin di Filipina tidak harus menjadikan Sabah sebagai isu untuk memenuhi agenda peribadi dan politik mereka. Isu ini dibangkitkan demi kepentingan dan agenda politik pihak tertentu di negara itu.

Ini bukan sahaja  membabitkan soal maruah dan kedaulatan, tetapi juga masa depan rakyat Malaysia di Sabah. Sebarang percubaan untuk membuat tuntutan tidak berasas perlu ditentang habis-habisan. Isyarat jelas dan keras perlu dihantar kepada Filipina.

Filipina dan 107 juta rakyatnya perlu sedar bahawa rakyat Malaysia  akan berkeras dan tidak akan membiarkan Sabah terlepas walau seinci pun. Sabah selamanya akan kekal milik Malaysia.

Jadi, jangan cuba untuk bermain api. Kita tidak harus bertolak ansur dengan tuntutan berkenaan. Tiada kompromi terhadap isu membabitkan kedaulatan Sabah.

“Saya tak nak cakap panjang, kita tidak akan tunduk dengan tuntutan ini. Sabah kekal dalam Malaysia…Sabah sebahagian daripada Malaysia,” kata Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin  akhir Ogos lalu.

Beliau menegaskan Filipina perlu diberi kefahaman jelas bahawa tidak timbul lagi isu tuntutan ke atas Sabah kerana kedudukan Sabah dalam Malaysia diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Filipina perlu sedar dan perlu diberi penjelasan bahawa referendum Suruhanjaya Cobbold pada 1963 menunjukkan rakyat Sabah memilih Malaysia.

Pilihan penduduk Sabah sudah dizahirkan dan diberikan ketika kajian Suruhanjaya Penyiasatan Cobbold pada 1962 dan kajian Suruhanjaya Penyisatan PBB 1963.

Kalaulah terdapat satu lagi referendum, saya yakin, majoriti rakyat Sabah mahu Sabah kekal selama-lamanya dalam Malaysia. Kalaupun ada yang mahu Sabah diserahkan kepada Filipina, mereka itu tentu warga yang berasal dari Filipina.

Isu duri dalam daging ini perlu diselesaikan secara tuntas dan muktamad.  Kegagalan menamatkan isu ini akan menyebabkan ia bakal timbul semula pada masa hadapan terutama apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjelang pilihan raya.

Justeru, isu ini perlu dipadamkan sama sekali dan tidak boleh dibangkitkan lagi. Kalau tidak, ia akan terus menjadi isu panas dan menimbulkan masalah hubungan dua hala antara Malaysia dengan Filipina. Perkara ini sepatutnya sudah ditamatkan dan ia harus dihormati negara di rantau ini.

Bagi Malaysia, demi maruah dan kedaulatan negara, 33 juta rakyatnya tidak harus tunduk kepada desakan dan tuntutan Filipina itu.

Kita tidak mahu perbalahan dan sengketa terus berlaku susulan isu ini. Ini ialah api dalam sekam dan jika tidak dipadam ia akan menjadi besar. Filipina tidak boleh dibiarkan berterusan menganggap isu itu sebagai perkara kecil  atau remeh kerana ia membabitkan soal kedaulatan dan hubungan antara negara. Malaysia perlu terus mempertahankan Sabah demi kedaulatan dan maruah negara.

Filipina pula tidak perlu berangan-angan hendak mendapatkan Sabah kerana rakyat Malaysia tidak akan mahu merelakannya daripada berlaku.