KANOWIT: Mayat mangsa lemas yang terjatuh dari perahu di kawasan Sungai Batang Rajang berhampiran Sungai Nanga Engsengai Kanowit dijumpai hari ini.

Pencarian yang memasuki hari ketiga menjumpai mayat mangsa terapung kira-kira jam 4.30 petang tadi di Sungai Bidut Sibu.

Kenyataan rasmi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit menyatakan panggilan diterima daripada IPD Sibu memaklumkan tentang penemuan mayat terapung oleh orang awam di Sungai Bidut Sibu.

Mayat mangsa Dublin Anak Cilnet 18 tahun kemudiannya telah dibawa oleh pihak polis ke Hospital Sibu.

Pada jam 5.30 petang pengecaman telah dibuat berdasarkan baju, gelang, rantai melalui gambar yang diterima dan pihak keluarga mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah mangsa yang dicari iaitu Dublin Anak Cilnet.

Daripada maklumat keluarga terdekat mangsa adalah pemegang Kad OKU (Masalah Pembelajaran).

Pakaian terakhir mangsa ialah baju berlengan panjang (baju sejuk) berwarna hitam, seluar panjang sukan warna hitam, menggunakan 2 cincin, digunakan di jari kiri dan tali gelang bewarna coklat di lengan kiri.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di sungai pada pagi 12 September (Sabtu).

Dengan penemuan mayat mangsa tersebut operasi SAR ditamatkan pada jam 6 petang tadi.