SARIKEI: “Saya mendoakan mereka agar mendapat pekerjaan yang baik demi masa depan diri dan keluarga,” kata ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Beliau berkata, karnival kerjaya yang disediakan kerajaan merupakan peluang terbaik kepada belia untuk membina masa depan.

Malah katanya, Program Mini Karnival Kerjaya dan Program Jangkauan Tenaga Kerja (GRAP) adalah platform penting golongan muda yang ingin mendapatkan pekerjaan tetap.

“Penganjuran program ini membuktikan kerajaan tidak mengabaikan golongan muda. Malah, kita sentiasa melakukan terbaik bagi memastikan mereka mengecapi masa depan yang lebih terjamin,” katanya ketika ditemui pada Program Karnival Kerjaya di Sarikei, Ahad.

Dalam pada itu, sebanyak 1,257 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor disediakan menerusi Program Mini Karnival Kerjaya yang diadakan serentak dengan Program Jangkauan Tenaga Kerja (GRAP) di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak, Awang Raduan Awang Omar berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 64 kekosongan untuk calon siswazah manakala sebanyak 1,193 lagi bagi calon bukan siswazah.

Katanya, jawatan siswazah yang ditawarkan termasuklah, Eksekutif Pentadbiran Kanan, Pegawai Alam Sekitar, Penganalisis Sistem, Eksekutif Pengeluaran dan lain-lain lagi.

“Penganjuran program bertujuan membantu golongan belia mendapatkan pekerjaan mengikut kelayakan, kemahiran dan kebolehan masing-masing.

“Temuduga terbuka juga dijalankan melalui tiga kaedah iaitu visual, bersemuka dan portal,” katanya.