KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 31 kes baharu dicatatkan sehingga jam 12.00 tengah hari pada Isnin.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dengan itu menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 9,946 kes dengan jumlah kes aktif sebanyak 615 kes setakat ini.

“Daripada 31 kes baharu, sebanyak 28 kes jangkitan tempatan dan tiga kes import. 19 jangkitan tempatan melibatkan warganegara dan sembilan lagi kes bukan warganegara,” katanya.

Jelas Dr Noor Hisham, Kluster Bunga di Negeri Sembilan turut mencatatkan empat kes baharu melibatkan kru kapal, namun di Kedah hanya satu kes baharu dicatatkan.

Dalam pada itu, tujuh kes telah pulih dan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan discaj sebanyak 9,203 kes bersamaan 92.53 peratus.

Sehingga kini, 11 kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lima daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tiada kematian baharu dicatatkan dengan jumlah kumulatif kematian kekal 128 kes bersamaan 1.29 peratus.