Tuesday, January 25, 2022

Pasar Tamu Baharu Betong perlu tempat parkir tambahan

Secara Rawak

BETONG: Pasar Tamu Baharu Betong yang terletak di kawasan pekan lama berhampiran dengan sebuah sekolah rendah di sini kini berdepan masalah kekurangan tempat letak kereta untuk pengunjung yang berkunjung ke pasar tersebut.

Seorang peniaga di tamu berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Suad Rif berkata kekurangan tempat letak kereta di tamu berkenaan menyebabkan pengunjung terpaksa meletak kenderaan di pinggir jalan kawasan itu dan kerap menyebabkan gangguan aliran trafik di kawasan berkenaan.

Kata Suad, apabila berlaku gangguan trafik maka pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertindak mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan.

Keadaan berkenaan jelasnya telah menyebabkan pengunjung merungut dan terkilan kerana tindakan ke tamu untuk membeli keperluan harian seperti barangan dapur, ikan dan sayur menjadi tidak berbaloi apabila mendapat tindakan saman parkir yang mencecah RM300.

Pasar tamu berkenaan yang dibuka dengan rasminya pada 1 Ogos lalu
kini menempatkan penjual sayur,ikan,kuih-muih , pakaian dan jualan pelbagai.

Pada bahagian hadapan pasar tamu tersebut hanya ada 20 tempat parkir manakala bahagian belakang hanya merupakan kawasan lapang tanah kuning sebagai tempat penjual memungah dan menurunkan barangan jualan ke tamu tersebut.

Sehubungan dengan itu peniaga di situ berharap pihak berkuasa tempatan akan dapat mengambil tindakan sewajarnya dalam kadar segera untuk menambah tempat parkir kawasan tamu itu bagi mengatasi masalah yang sedang dihadapi pengunjung ke situ ketika ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru