Sunday, August 14, 2022

Kerajaan Sarawak tunai janji melalui Projek Rangkaian Jalan Pesisir Sarawak

Secara Rawak

IGAN: Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Johari Tun Openg semalam sekali lagi menunaikan janji bagi pelaksanaan Projek Rangkaian Jalan Pesisir Sarawak iaitu Jambatan Batang Igan Mukah.

Berucap di majlis perasmian pecah tanah tersebut, Ketua Menteri dalam amanat beliau berkata, kerajaan GPS membangunkan kembali Jambatan Batang Igan yang telah dibatalkan oleh kerajaan sebelum dan untuk itu, sembilan buah jambatan telah diselesaikan dalam masa tiga tahun.

“Saya dalam GPS, kerana rakyat, kita akan bangunkan. Alhamdulillah berkat doa anda, ada cara dan dana untuk saya melaksanakan semua jambatan. Masa hanya tiga tahun untuk saya menjadi Ketua Menteri. Allah berikan ilham kepada saya bagaimana mendapatkan wang dan dana, dan 9 jambatan diselesaikan oleh GPS dalam masa tiga tahun” katanya.

Sehubungan itu, tambah Datuk Abang Johari, semua jambatan tersebut akan siap pada tahun 2024, tanpa tol dan rakyat tidak akan menggunakan pengangkutan feri lagi.

“Tahun 2024 insyaAllah semua jambatan akan siap. Kita tidak lagi menggunakan feri. Jambatan juga tidak ada tol. Wasiat ‘Tok Nan’ dahulu, sekiranya ingin membina jambatan untuk orang Sarawak, jangan guna tol! Jadi, kita bina jambatan tanpa tol” jelasnya.

Meyakinkan rakyat bahawa apa yang dikatakan kerajaan bukan hanya ‘omong kosong’ jelas Ketua Menteri lagi, beliau yakin dan berani memikul tanggungjawab yang besar demi kemajuan Sarawak adalah disebabkan kekuatan rakyat.

“Saya berani kerana ada rakyat di belakang saya. Kerana, kalau rakyat bersatu, negeri kita aman, kita dapat mengurus negeri kita dan mencari idea baru. Termasuk untuk air, elektrik dan kemudahan digital” jelas beliau.

“InsyaAllah target kita supaya negeri kita menjadi negeri maju menjelang 2030. Masa depan kita yang jaga. Sarawak hanya dapat dijaga oleh orang Sarawak!” tegas beliau lagi.

Simbolik perasmian turut disempurnakan bersama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing; Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah; Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis, Datuk Haji Julaihi Haji Narawil; Menteri Muda Pertanian Sarawak, Dr Abdul Rahman Ismail; ADUN Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi serta Residen Bahagian Mukah, Hajah Hamdiah Haji Bakir.

Sejurus selepas simbolik perasmian, Ketua Menteri menyaksikan ‘Penyerahan Surat Setuju Terima Projek’ dari agensi pelaksana iaitu Pengarah Kerjaraya Sarawak, Datu Ir. Haji Zuraimi Haji Sabki kepada Pengarah Pengurusan Syarikat Kontraktor Wisma Sdn Bhd, Intun Ambas.

Dalam majlis itu juga turut disampaikan penyerahan Cek Pampasan Tanah, Projek Pembinaan Jalan Kampung Igan ke Rumah Panjang Sungai Ilas dan Kampung Sah Kebuaw Batang Igan (Fasa 1), yang mana 3 orang daripada 25 pemilik tanah yang terlibat menerima replika cek pampasan berdasarkan nilai semasa.

Ketua Menteri Rasmi Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang IganIGAN : Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri,…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Saturday, September 12, 2020

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru