Tuesday, June 28, 2022

Drama politik penamaan calon PRU DUN Sabah

Secara Rawak

Penamaan calon pilihan raya umum Dewan Undangan  Negeri Sabah sudah dilangsungkan. Kini tumpuan apabila Sabah mencatatkan pertandingan  teramai dalam banyak penjuru dalam sejarah pilihan raya negara.  Hal ini berlaku apabila tidak ada satu pun kerusi yang dipertandingkan itu beradu dua calon.

Sebaliknya setiap kerusi DUN yang dipertandingkan  tersebut minimum tiga penjuru, iaitu sebanyak tiga penjuru.   Paling banyak penjuru ialah  di DUN Bengkoka di Parlimen Kudat apabila  berlakunya pertandingan 11 penjuru.

Di  kawasan  lain  terdapat lima DUN melibatkan  empat penjuru, 15 DUN beradu 15 penjuru, 26 Dun melibatkan  6 penjuru,  13 Dun  berlakunya tujuh penjuru, enam Dun  beradu lapan penjuru, tiga DUN  menyaksikan sembilan penjuru,  dan satu DUN  melibatkan 10 penjuru, iaitu di  Inanam.

Ternyata politik negeri Sabah sangat dinamik  dalam konteks politik penyertaan yang menyaksikan  404 lelaki  dan 43 wanita atau  sejumlah 447 calon  akan  bersaing dalam berebut  73 kerusi yang dipertandingkan.

Parti Bertanding Persis Cendawan

Sabah  juga mencatatkan 16 buah parti bertanding  dan 56 calon Bebas.  Parti Cinta Sabah (PCS) bertanding  dalam semua 73 DUN, Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam 53 kerusi, USNO (Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) bertanding 47 Dun,  LDP ( Liberal Demokratik  Party (LDP) 46 kerusi manakala Perikatan Nasional bertanding 29 kerusi apabila Bersatu bertanding di 18  buah kerusi , Star  mendapat lapan kerusi  dan  SAPP pula mendapat dua kerusi.

PN dan BN

Perikanan Nasional  di Sabah terdiri daripada Bersatu, Star dan Parti Maju Sabah ( (SAPP).  Hajiji mempertahankan kerusi DUN Sulaman, manakala Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun mempertahankan kerusi DUN Karanaan.Antara pemimpin lain BERSATU yang mempertahankan kerusi masing-masing ialah Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Mohd Ariffin Arif (Membakut), Datuk Ghulam Haidar Khan (Kawang) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas). Dua penyandang  yang melompat parti dari Warisan ke Bersatu turut dicalonkan semula mewakili Bersatu, iaitu Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik).

Apabila Barisan Nasional yang terdiri daripada UMNO bertanding 31 daripada 73 buah kerusi DUN, ini bermakna BN memfokuskan kawasan kubu kuat UMNO akan tetapi terdapat beberapa kubu kuat UMNO telah diserahkan kepada parti Bersatu, walaupun UMNO berpeluang besar untuk menang  seperti Dun Sulaman, Membakut, Kawang, Karanaan, dan Apas.

UMNO Cuba Bangkit

UMNO cuba membuat perubahan dalam budaya politik mereka apabila 90 peratus  calon mereka ialah muka baru dan mengetengahkan dua calon wanita. Hal ini satu peluang besar kepada golongan  muda kerana berpeluang bertanding dalam pilihan raya. Faktor ini ditambahkan lagi dengan faktor ramai pemimpin bahagian dan wakil rakyat mereka sebelum ini telah melompat ke parti Bersatu. Sebelum ini kira-kira 21 ketua bahagian umno melompat ke Bersatu, 16 daripada 17 wakil rakyat kalangan Dun UMNO sebelum ini telah melompat menyertai Warisan atau Bersatu. Antara Veteran UMNO Sabah yang bertanding menggunakan tiket UMNO ialah  Bung Moktar Radin (Lamag), Salleh Said Keruak (Usukan), Yakub Khan (Karambunai), Datuk Jumat Idris (Darau) dan Datuk Raime Unggi (Kemabong).

Namun apabila BN meletakkan Jamawi Ha’afar bertanding di DUN Melalap, ini menjadikan jumlah kerusi Umno bertanding bertambah menjadi 32 kerusi. Namun pengumuman saat-saat akhir  menyebabkan pertembungan dengan PBS.  Jawawi sebelum ini melompat dari UMNO ke warisan dan kini melompat kembali ke Umno. Kemasukan Jawai bertanding atas tiket UMNO walaupun namanya tidak tersenarai dalam pengumuman awal sebelum ini menjadikan UMNO bertanding di 32 kerusi, diikuti dengan lima calon  dari PBRS dan empat calon MCA dan ini menjadikan jumlah keseluruhan ialah 41 kerusi di bawah naungan BN.

Parti-Parti Lain

Parti Gagasan Rakyat Sabah (GAGASAN) bertanding  dalam 28 kerusi, Parti Perpadauan rakyat Sabah (PPRS) bertanding dalam 23 kerusi, manakalah Parti Bersatu Sabah (PBS) bertanding 22 kerusi,  United Progressive Kinabalu Organisation (UPK0) bertanding 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tujuh kerusi,  Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT) lima kerusi, Parti Kerjasama Anak Negeri (anak Negeri) dua, Parti Amanah negara (Amanah), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dan Pertubuhan  Perpaduan rakyat Kebangsaan Sabah (PERTUBUHAN) masing-masing satu kerusi setiap satu.

Parti Warisan Plus bertanding dalam 73 kerusi yang terdiri daripada Warisan (46 kerusi), PKR ( 7 kerusi), DAP (7 kerusi), Amanah bertanding 1 kerusi  dan Upko bertanding 12 kerusi.

Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai sekutu Perikatan Nasional dan BN pula bertembung kerusi sesama mereka. Didapati BN akan bertembung dengan sekutunya PN dan PBS di 17 daripada 73 kerusi pada PRN Sabah iaitu Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Melalap, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, Tambunan dan Tanjung Aru. Pertembungan ini berlaku kerana masing-masing  kalangan parti komponen atau sekutu berasa mereka mempunyai peluang cerah untuk menang dan mempunyai akar umbi yang kuat.

Isu Awal  Berbangkit

Ketika hari penamaan calon baru berlangsung semalam, namun Perdana Menteri Muhydiddin Yassin  sebagai presiden Bersatu sudah  membuat pengumuman calon Ketua Menteri Sabah.  Perkara ini adalah diluar  jangka kerana ia tidak dirunding terlebih dahulu dengan komponen-komponen khususnya dengan UMNO.

Pengumuman ini i menimbulkan ketidakselesaan kalangan akar umbi UMNO di pelbagai peringkat pimpinan cawangan dan bahagian. Reaksi ketidakpuasan hati ini akan  Umno menyebabkan sokongan terhadap Bersatu terjejas dalam pilihan raya negeri Sabah lebih-lebih lagi diumumkan ketika waktu panas dalam pengagihan kerusi baru selesai dan dilihat UMNO lebih banyak mengalah kepada Bersatu. Banyak kerusi tradisi UMNO ditandingi oleh parti Bersatu dan kemarahan ahli UMNO baru sahaja hampir terpadam kembali terbakar.

Tambahan pula Bersatu bertanding tidak banyak kerusi berbanding UMNO,lalu persoalan bagaimana kerusi minoriti hendak menjadi ketua Menteri Sabah. Kalau berdasarkan pengalaman PH di Putrajaya apabila parti minoriti menjadi Perdana Menteri iaitu sekadar 13 kerusi berbanding PKR 50 kerusi ini menyebabkan ketidakstabilan dan kerajaan PH tumbang dalam tempoh 22 sahaja.  Selain itu, kebanyakan tempat ditandingi Bersatu mempunyai ramai ahli UMNO  dan ini membahayakan kedudukan Bersatu dalam  PRN Sabah ini.

Langkah pengumuman awal ini bukanlah tindakan politik bijaksana kerana ini akan memecahkan hubungan Bersatu dan UMNO ketika mereka berdepan dengan gergasi politik baru Warisan Plus.

Oleh itu, peluang PN menang besar sudah terjejas dengan insiden dan kemelut calon Ketua Menteri yang dicetuskan oleh Bersatu. Ia seolah-olah berjangkitan dengan wabak isu pencalonan perdana menteri PH hingga menyebabkan hingga kini PH gagal merampas kembali  kuasa daripada Perikatan Nasional.

PAS Diprovokasi

Serangan atau provokasi terhadap Pas  dilakukan sengaja diperbesarkan oleh musuh politik pas agar Pas terkesan dengan  tindakan tidak membuat pencalonan PAS dan ini adalah  usaha untuk memecahkan kesatuan dan semangat bekerjasana PAS dengan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional.

Dalam hakikat sebenar, PAS sedar mereka tidak ada rekod menang dalam PRU di Sabah dan adalah usaha sia-sia sekiranya Pas bertanding. Sedangkan parti Amanah bertanding menggunakan logo parti Warisan untuk mendapat peluang kemenangan menumpang  nama parti tempatan Sabah. Sekiranya menggunakan logo Amanah, sudah pasti dari awal parti Amanah akan ditolak oleh pengundi tempatan Sabah.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru