SIBU: Penganjuran Sesi Doa Khas sempena sambutan Hari Malaysia oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah menghimpunkan beberapa ahli jawatankuasa untuk mengadakan mesyuarat terakhir bagi membincangkan pelaksanaan penganjuran tersebut yang melibatkan semua rumah ibadat di Sibu bermula 31 Ogos hingga 15 September 2020.

Menurut Pengarah UNIFOR, Richard Lon dalam satu kenyataan media, dengan kerjasama Pejabat Residen Sibu dan Unit Integriti dan Ombudsman, sesi doa khas itu adalah untuk memperkukuhkan nilai-nilai yang tinggi dalam toleransi dan kerjasama melalui penganjuran pelbagai acara keagamaan, memperdalam pengetahuan masyarakat mengenai pelbagai agama serta untuk mempromosikan keharmonian dan perpaduan di antara orang-orang yang berlainan kepercayaan dan latar belakang.

Turut akan diadakan, forum mengenai pelbagai agama, yang akan dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion pada 15 September, diikuti solat kesyukuran, tayangan video khas mengenai agama, persembahan lagu-lagu patriotik serta pembacaan ikrar Rukun Negara pada sebelah malam yang akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Sibu.