KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) berkemungkinan diadakan lebih awal daripada jangkaan, kata Naib Presiden Parti PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Saya rasa ini merupakan satu rahsia terbuka iaitu PRN akan diadakan tidak lama lagi, tetapi secara peribadi, saya melihat bahawa ia mungkin akan diadakan akhir tahun ini.

“Bagaimana kita hendak mengadakan PRN pada tahun depan sedangkan kita mempunyai banyak program pada tahun depan? Kami memang telah bersedia untuk perkara ini,” katanya.

Gambar fail – Abdul Karim Rahman Hamzah

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah merasmikan pejabat dan galeri baharu Majlis Kraf Sarawak di Tebingan Sungai Kuching, pada Rabu.

Menurutnya, bukan sahaja GPS, malah parti pembangkang juga sudah bersedia menghadapi PRN akan datang.

“Mereka telah turun padang,” jelas Abdul Karim. Beliau berkata, PRU juga berkemungkinan besar akan diadakan dalam tempoh yang sama dengan PRN susulan kekurangan majoriti kerusi di Parlimen.

“Kita tidak boleh mempunyai parlimen dengan perbezaan hanya satu atau dua kerusi antara kerajaan dengan pembangkang.

“Jika seorang ahli parlimen meninggal dunia, parlimen telah tergantung selain sudah terbiasa untuk melihat lompat parti berlaku di Malaysia,” katanya.

Mengulas kedudukan GPS dalam PRN akan datang, Abdul Karim berkata, gabungan yang memerintah itu akan memenangi PRN dengan bergaya.

“Kita boleh mendapatkan dua pertiga kerusi Dun dan kita boleh memenangi lebih banyak kerusi berbanding PRN lalu,” ujarnya.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, parti pembangkang tempatan mahupun parti dari Semenanjung Malaysia tidak mempunyai peluang besar.

“Pengundi tahu membuat pilihan dan tidak akan menggagalkan GPS. “Parti dari Semenanjung Malaysia sudah tentu akan disapu habis dan parti tempatan akan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Perkara biasa untuk mereka muncul apabila waktu pilihan raya sudah dekat.

“Malah beberapa parti yang tidak berdaftar akan cuba mendaftarkan parti hanya untuk pilihan raya. “Tindakan yang hanya membuang duit,” tegasnya lagi.

Abdul Karim berkata, sekutu GPS di peringkat persekutuan yang bersaing untuk bertanding dalam PRN tidak boleh membuat keputusan mereka dengan tidak menghormati gabungan negeri.

“Jangan bertanding untuk melawan kami, hormati Kerajaan Sarawak, kami telah menguruskan negeri dengan baik. Jangan ganggu kami di sini,” tegasnya lagi.