SARATOK: Usaha menggempur kegiatan judi haram di sekitar daerah ini berterusan bagi membanteras kegiatan tersebut agar tidak berterusan dan menimbulkan pelbagai masalah sosial dalam kalangan penduduk di sini.

Semalam seorang lagi diberkas pihak polis kerana didapati terlibat dengan kegiatan judi dalam talian (online gambling) dan nombor ekor haram.

Tangkapan dilakukan oleh anggota polis dari IPD Saratok membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun ketika serbuan dan pemeriksaan di sebuah premis di kawasan pekan di sini sekitar jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu ketika diserbu suspek didapati menjalankan kegiatan judi haram iaitu penjualan kad tambah nilai judi secara ‘online’ dan nombor ekor haram.

“Sepasukan anggota dari IPD Saratok telah melakukan pemeriksaan terhadap suspek. Setelah diperiksa didapati barang-barang yang digunakan untuk penjualan reload judi online berada bersama dengan lelaki tersebut. Pihak polis menahan suspek dan barang rampasan.

“Butiran rampasan adalah 1 unit telefon Jenama Samsung,1 Unit telefon Jenama Nokia , 5 Keping kertas bercetak disyaki nombor ekor Haram, 2 Keping kertas bertulis 11 nombor reload online dan wang tunai campur-campur berjumlah RM 266.00,” ujarnya.

Tambah Mordani, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Saratok untuk siasatan lanjut di bawah Sek. 4(1)(c) ARJT 1953 kerana menjalankan kegiatan Judi ‘online’.

Suspek kini ditahan reman dan permohonan reman untuk suspek bermula semalam ,10 September 2020 .