PARIS: Projek mengubah suai rumah agam di kawasan 12 rue Oudinot baru-baru ini terpaksa dihentikan selepas pekerja pembinaan menemui mayat manusia reput di bilik bawah tanah.

Rumah agam berharga €35 juta itu terletak tidak jauh dari kediaman rasmi Perdana Menteri Perancis dan ia dibiarkan kosong sejak 30 tahun lalu.

Mengikut sejarah rumah itu pernah didiami penyair dan penulis drama François Coppée.

Rumah tersebut kemudian dibeli oleh Jean-Bernard Lafonta, bekas pengarah syarikat pelaburan Perancis dengan harga €35.1 juta iaitu enam kali ganda harga lelongan pada Januari lalu.

Pada Februari beliau mengarahkan kerja baik pulih di rumah tersebut dan mahu ia dikembalikan kepada keadaan asalnya.

Namun para pekerja yang memeriksa rumah itu menemui mayat terbabit di dalam salah sebuah bilik bawah tanah.

Biarpun mayat itu sudah reput, namun terdapat kesan tulang patah dan torehan pisau sehingga menyebabkan polis memulakan siasatan lanjut.

Mayat itu dikenal pasti sebagai Jean-Pierre Renaud, dan dia dikatakan mati 30 tahun lalu. Lelaki itu orang biasa dan mempunyai masalah ketagihan arak.

Keluarga Renaud diberitahu kematiannya dan kerja ubah suai rumah dimulakan semula pada musim panas nanti.