DELHI: Gara-gara gemar memakan rambut, seorang remaja berusia 17 tahun terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang ketulan rambut seberat 15 paun dari perutnya.

Ketulan itu dikatakan seberat bayi berusia 5 bulan setelah sekian lama berada di dalam perutnya.

Selepas menjalani pemeriksaan ultrasound, doktor yang mengesan ketulan dalam perutnya menyangka ia ketumbuhan.

Namun apabila mereka melakukan pembedahan untuk mengeluarkannya rupa-rupanya ia ketulan rambut.

Pembedahan mengeluarkannya mengambil masa enam jam dan dilakukan di sebuah hospital swasta di Jharkhand, wilayah Bokaro, India.

Doktor Sahu yang mengetuai pembedahan itu memberitahu sepanjang 40 tahun menjadi doktor bedah ini merupakan kali pertama dia melihat longgokan rambut yang begitu banyak di dalam perut pesakitnya.

Remaja itu dikatakan gemar menggigit dan memakan rambutnya sehingga menyebabkan rambut tersebut menjadi ketulan dan memenuhi perutnya.

Dia kini stabil dan dalam proses pemulihan.