KAPIT: Sejumlah 6,550 orang penduduk, melibatkan 32 buah rumah panjang di daerah Kapit & Bukit Mabong kini boleh menikmati bekalan elektrik 24 jam.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, Projek Sistem Janakuasa Solar yang bernilai RM42 juta di bawah Skim SARES itu dapat menampung penggunaan peralatan elektrik asas seperti lampu, kipas angin, televisyen, periuk nasi elektrik dan peti sejuk bersaiz kecil, berkapasiti maksima 3000Wj sehari untuk setiap isi rumah.
Katanya, ia secara tidak langsung dapat memberi kesenangan kepada penduduk di pedalaman terpencil kerana segala hasil tangkapan mereka dapat disimpan di dalam peti sejuk sekaligus akan dapat mengurangkan keperluan mereka untuk keluar bagi mendapatkan makanan seharian.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Hak Milik Sistem Janakuasa Solar SARES Daerah Kapit & Bukit Mabong, bertempat di Dewan Suarah Kapit semalam.
Turut berucap, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik), Datuk Liwan Lagang yang menyatakan bahawa sasaran Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg adalah untuk membekalkan elektrik kepada seluruh penduduk Sarawak.
Jelasnya, Sarawak kini mencapai liputan elektrik 24 jam sekitar 93 peratus penduduk luar bandar manakala sejumlah 22,360 isi rumah atau 7 peratus penduduk luar bandar yang masih belum mendapat elektrik 24 jam.
Beliau menambah, strategi membekal elektrik luar bandar adalah melalui ‘Sambungan BELB Grid Agihan’ dan ‘Sambungan RPSS Grid Penghantaran’ untuk kawasan yang mempunyai akses jalan.
Untuk sistem tunggal pula, menggunakan sumber tenaga elektrik alternatif seperti HYBRID dan SARES bagi kawasan pedalaman yang terpencil.