KUCHING: Pusat Sumber Teknologi Perabot Mara (Fitec) merancang beberapa inisiatif di bawah Pembangunan Tenaga Kerja Kemahiran Perabot dan Skim Latihan Pekerjaan (Furnsets) bagi tahun 2021.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong berkata, seramai 88 peserta usahawan perabot dari Sarawak telah menyertai program Fitec untuk melahirkan peserta yang berdaya saing.

Katanya, program-program dilaksanakan melalui kerjasama dengan beberapa institusi di Sarawak.

Antaranya Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) dan Persatuan Pengusaha Perabot Bumiputera Sarawak (Perbumi).

“Melalui program ini, belia akan dilatih untuk menguasai kemahiran dalam pembuatan perabot dan panel bagi memenuhi pasaran pekerjaan dalam industri perabot sekali gus meningkatkan kebolehpasaran untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik.

“Program Latihan Kemahiran Industri Perabot (Profits) turut dirancang bagi melatih belia di seluruh negara menjadi pekerja mahir dalam pengendalian mesin perabot berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Senator Zaiedi Suhaili di Dewan Negara pada Selasa.

Kata Henry, peranan Mara dalam merangka kursus latihan kemahiran industri perabot boleh dikenal pasti melalui dua peringkat iaitu di bawah Institusi TVET Mara iaitu Giatmara, Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM).

Jelas beliau, seramai 52 orang pelatih dari Sarawak telah dilatih dan diberi kemahiran dalam bidang perabot sejak 2008 melalui program Sijil Teknologi Reka Bentuk dan Pembuatan Perabot.

Mengenai makmal pengujian perabot Fitec yang membantu usahawan menghasilkan perabot berkualiti, Henry memberitahu, makmal tersebut menjalankan pengujian berdasarkan standard pengujian perabot antarabangsa seperti Malaysia Standard, British Standard atau lain-lain standard yang diperlukan oleh pelanggan.

“Tujuan utama pengujian perabot adalah untuk mendapatkan Sijil Lulus Ujian bagi tujuan memenuhi keperluan pembeli sama ada daripada jabatan kerajaan atau tujuan eksport.

“Fitec juga menganjurkan program latihan kepada usahawan perabot untuk menghasilkan perabot yang kualiti berdasarkan sistem kualiti MS ISO IEC 17025 dan pendedahan kepada keperluan standard antarabangsa,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak empat program latihan diadakan pada 2019 yang melibatkan 40 peserta dan satu program dianjurkan pada tahun ini yang melibatkan 10 orang peserta.