KABONG: Empat orang menjadi individu terbaharu yang diberkas polis kerana didapati menjalankan kegiatan judi dalam talian ( online gambling) dan nombor ekor haram di beberapa lokasi di sekitar pekan di sini petang semalam.

Dalam Ops Dadu yang dilancarkan oleh pihak polis sekitar jam 3 petang itu, tangkapan dilakukan membabitkan empat lelaki yang berusia 24 tahun, 35 tahun dan dua orang berumur 48 tahun.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin memaklumkan perkara tersebut dan menjelaskan ketika diserbu suspek didapati menjalankan kegiatan judi haram iaitu penjualan kad tambah nilai judi secara ‘online’ dan nombor ekor haram.

Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontijen Sarawak Kuching telah melakukan pemeriksaan terhadap suspek. Setelah diperiksa didapati barang-barang yang digunakan untuk penjualan reload judi online dan nombor ekor haram berada bersama dengan lelaki tersebut. Pihak polis menahan suspek beserta barang rampasan.

“Butiran rampasan pertama ialah satu unit telefon pintar jenama Renme,1 unit telefon pintar jenama Mi, 2 unit Mobile Data Printer, kertas tercatat angka bertulis angka 4D haram,1 helai keratan kertas bercetak angka disyaki loteri awam tanpa lesen, 1 keping keratan kertas bertulis angka disyaki nombor pengenalan diri dan nombor keselamatan pemain judi atas talian dan wang tunai campur-campur berjumlah RM729.00. Suspek juga mempunyai tiga rekod kesalahan lampau sebelum ini,”ujarnya.

Tangkapan kedua pula dilakukan pihak polis jam 3.40 petang membabitkan seorang lelaki berumur 48 tahun di tingkat atas sebuah kedai di pekan ini.

“Untuk tangkapan kedua pihak polis merampas 1 unit telefon pintar jenama Huawei. Suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau” ujarnya.

Tangkapan ketiga pula dilakukan sekitar jam 3.45 petang membabitkan seorang lelaki berumur 35 tahun.

Lelaki tersebut ditahan bersama barangan rampasan seperti satu unit telefon pintar jenama Vivo, satu unit ‘mobile data printer’, satu helai keratan kertas bercetak angka disyaki loteri awam tanpa lesen dan wang tunai campur-campur berjumlah RM333.00.

Suspek turut mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Dalam serbuan keempat yang dilakukan pihak polis jam 3.47 petang telah berhasil memberkas seorang lelaki berusia 48 tahun dan merampas satu unit telefon pintar jenama Vivo dan wang tunai campur-campur berjumlah RM 742.00.

Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kabong untuk siasatan lanjut di bawah Sek. 4A(a) ARJT 1953 dan Sek. 4(1)(c) ARJT 1953.

Suspek kini ditahan dalam lokap dan akan dipohon tahanan reman hari ini.