BAKUN: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing telah diberikan taklimat dan penerangan mengenai perkembangan di Bakun.
Dalam kenyataan medianya pada Selasa, beliau berkata penerangan ini merangkumi kemajuan jalan alternatif sepanjang 12 kilometer yang bernilai RM47 juta ke Tasik Bakun dan cadangan pembinaan jeti baru bernilai RM17 juta.
Bagaimanapun, kedua-dua projek itu tertangguh disebabkan pandemik COVID-19 dan dijangka siap pada Oktober 2021.
Dalam pada itu, Tan Sri Dr James yang juga Menteri Pembangunan Infrastuktur dan Pelabuhan Sarawak mencadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi
membolehkan Kelab Pelayaran Bakun melatih atlet Sukma Sarawak di acara pelayaran.
Jelas beliau, kawasan Bakun mempunyai banyak potensi yang boleh diketengahkan sebagai tempat pilihan ramai untuk acara air dan sebagai ‘Tourism Gem’ di Sarawak.
Selain dijadikan tempat pilihan sukan air ujarnya, kerajaan Sarawak juga berharap dapat mempamerkan Bakun sebagai tempat pelancongan utama di Sarawak memandangkan banyak potensi terdapat di wilayah Bakun.