Wednesday, June 29, 2022

Penghuni RPR Rangau akan dipindahkan tanpa sebarang bayaran

Secara Rawak

LIMBANG: Terdapat banyak masalah yang berlaku dalam Projek Perumahan Mampu Milik Rangau seperti mana rungutan daripada pemilik-pemilik rumah yang terlibat dalam pemindahan tersebut.

Perkara ini diakui sendiri Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Hj Abdul Rahman Ismail ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Perumahan Mampu Milik Rangau pada Ahad.

Katanya, pada Jumaat lepas beliau telah pergi ke Pejabat Syarikat Pembangunan Perumahan (HDC) bertanyakan status projek ini dan menjelaskan mengenai permasalahan yang dihadapi dalam Projek Perumahan Mampu Milik Rangau.

“Mereka juga mengakui projek ini belum dapat dilaksanakan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan sebelum ini disebabkan pelbagai sebab termasuk sebab teknikal, reka bentuk, kebenaran daripada pihak-pihak berkuasa kerana ada perubahan skop dan juga disebabkan oleh PKP.

“Secara umumnya kami juga tidak berpuas hati dengan perkembangan projek ini kerana masalah perumahan merupakan masalah utama yang perlu kita perjuangkan.

“Bukan saja perumahan Rangau ini yang kita perjuangkan, tetapi juga skim pembesaran kampung dan sebagainya,” katanya.

Ini merupakan Projek Khas yang merupakan cadangan Ketua Menteri memandangkan reka bentuk rumah yang didiami sekarang sangat tidak mesra dengan kehidupan dan berbesar hati untuk memindah semua penghuni RPR Rangau yang sah menduduk taman perumahan tersebut.

Dalam pada itu, Datuk Dr Hj Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut menjelaskan akan memindahkan penghuni-penghuni di RPR Rangau ke tempat baru tanpa sebarang bayaran tetapi bagi mereka yang masih mempunyai hutang dengan bank perlu meneruskan pembayaran hutang tersebut.

“Saya percaya ini tidak akan membebankan mereka dan kita akan meroboh rumah-rumah sedia ada sekarang disebabkan ketidaksesuaian reka bentuk dan akan dibina perumahan baru di sana, kemudahan awam yang lain seperti rumah kedai dan hotel,” jelasnya.

Seramai 128 pemilik rumah dan telah berurusan dengan HDC dan pihak bank akan dipindah ke perumahan baru yang lebih besar dan lebih selesa.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahman berkata projek ini akan dibahagi kepada dua peringkat iaitu pertama menembok tanah dan keduanya membina rumah.

“Walau bagaimanapun, kerja menembok tanah belum siap dan hanya dua pertiga (66%) sahaja yang telah siap ditembok. Sebab itu kita meminta Daya Builder untuk menyiapkan kerja-kerja mereka sehingga hujung bulan Oktober ini.

“Peringkat kedua, HDC akan memulakan proses pembinaan rumah iaitu peringkat kedua yang mana sekarang ini pelantikan kontraktor sedang berjalan melalui sistem penilaian tender. Jadi dijangka kontrak akan diberikan pada bulan November 2020 ini.

“Ini bukan janji manis, sebenarnya apabila kita bercakap memang kita akan cuba menunaikan tetapi banyak perkara terjadi termasuk PKP, ia juga menjejaskan projek perumahan. Apabila kami turun bersama hari ini, membuktikan kami tidak lepas tangan dari tanggungjawab,” katanya.

Selepas ini, pihaknya akan meminta HDC untuk menggunakan tanah mereka di Jalan Pandaruan untuk program yang sama iaitu program pembinaan rumah untuk masyarakat di sini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Hasbi bin Habibollah dan Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi bin Hj Abang. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru