SARATOK: Penduduk di Daerah Saratok kehilangan seorang Pegawai Daerah yang sangat berdedikasi.

Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok Kaunselor Mohamad Duri ketika dihubungi mengesahkan Pegawai Daerah Saratok Mohd. Ikhmal Abdullah menghembuskan nafas terakhir sekitar 5:28 petang Isnin di Hospital Sibu.

Menurutnya, beliau dikejarkan ke Hospital Saratok, lalu terus dihantar ke Hospital Sibu pada 1 September lalu ekoran masalah jantung dan pneumonia.

“Kami kehilangan seorang pemimpin yang disanjung oleh warga Saratok, selain disayangi dan dekat di hati semua.

“Seorang yang sangat berdedikasi, peramah, sentiasa ceria dan senang didampingi baik berjumpa di kedai kopi mahupun di pejabat bagi urusan rasmi,” katanya.

Difahamkan jenazah diuruskan di Hospital Sibu dan akan dibawa balik ke rumahnya di Kota Samarahan.

Untuk rekod, Ikhmal mula berpindah ke Saratok pada 2013.