Angka jangkitan baharu positif Covid-19 dunia terus meningkat kepada lebih 250,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan global mencecah angka 27.48 juta kes setakat jam 9. 30 pagi ini.

Jumlah kematian  hampir mencecah 900,000 kes.

Data terbaharu  Worldometers  menunjukkan Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 6.48 juta kes jangkitan dengan lebih 193,000 kematian.

Ini diikuti India dengan 4.27 juta kes dengan lebih 72,000 kematian, manakala Brazil merekodkan 4.14 juta kes jangkitan dengan lebih 127,000 kematian.

Jangkitan Covid-19 di Rusia pula melepasi angka satu juta kes dengan lebih 17,000 kematian.

Sementara itu, Peru, Colombia, Afrika Selatan dan Mexico dan Sepanyol melepasi angka setengah juta kes.

Peru yang berada di tangga kelima merekodkan 691,000 kes, Colombia 671,000 kes, Afrika Selatan 639,000 kes, Mexico 637,000 kes dan Sepanyol 525,000 kes.

Negara yang melepasi angka 300,000 termasuk Argentina, Chile, Iran, Perancis, United Kingdom, Bangladesh dan Arab Saudi.

Enam lagi negara merekodkan angka positif melebihi 200,000 termasuk Pakistan, Turki, Itali, Iraq, Jerman, dan Filipina.