KUCHING: Sarawak merekodkan  tiada kes baharu Covid-19 untuk sembilan hari berturut-turut sejak 31 Ogos lalu.

Namun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)  menasihati  rakyat di negeri ini agar terus berwaspada dan mematuhi prosedur pengendalian standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan (PKPP).

Jawatankuasa itu juga menasihati orang ramai agar memakai pelitup separuh muka serta mematuhi penjarakan fizikal semasa berada di tempat awam.

“Hari ini tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini 699 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

“Jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.72 peratus. Hari ini 15 kes orang disyaki (PUI) Covid-19 baharu dilaporkan dan tiada PUI menunggu ujian makmal,” kata JPBNS.

Jelasnya, Kluster Covid-19 yang masih aktif ketika ini ialah Kluster Alam di Bintulu kekal lapan kes.

“Tujuh telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital manakala satu kes masih mendapat rawatan di Hospital Bintulu,” katanya lagi.

JPBNS juga memaklumkan dua kes baharu telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Bintulu hari ini  menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang pulih dan dibenarkan discaj setakat ini meningkat  676 orang atau 96.71 peratus.

Jelas JPBNS  lagi  empat orang masih menerima rawatan di wad  pengasingan hospital, dua daripadanya dirawat di Hospital Bintulu, satu masing-masing di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Miri.