LAZIMNYA menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya negeri Sarawak dalam tempoh 20 tahun lalu, saya menjalankan penyelidikan dan survei mengenai isu, calon, dan peluang sesebuah parti politik menang.

Sentimen dan persepsi rakyat tentang kerajaan dan pembangkang sering ditanya dan diukur melalui penyelidikan, termasuk dengan menggunakan borang penyelidikan.

PROF MADYA DR JENIRI AMIR

Bagi memastikan kesahihan dan kebolehpercayaan yang tinggi, satu daripada kriteria yang dipegang adalah dengan mendapatkan jumlah responden yang munasabah.

Selain daripada menggunakan borang soal selidik, saya sering menggunakan kaedah kumpulan berfokus dan temu bual bersemuka dengan para pemimpin pendapat dan rakyat di peringkat akar umbi.

Kerja penyelidikan bukannya mudah, tetapi penuh dengan cabaran.

Penyelidikan bukan sahaja memerlukan masa, tetapi juga wang ringgit dan tenaga yang banyak. Ini bukan kerja main-main atau dapat diambil mudah.

Bagi penyelidik di universiti, dapatan kajian yang betul penting, dan ini bertolak daripada soalan yang dikemukakan hinggalah aspek persampelan dan pentafsiran data dan analisis.

Bagi penganalisis politik, saya banyak mendapat maklumat dan input daripada hasil penyelidikan yang dijalankan.

Maklumat berkenaan penting untuk saya pegang ketika diminta memberi pandangan baik melalui media konvensional, protal berita atau ketika muncul melalui saluran televisyen.

Menjelang pilihan raya negeri Sarawak 2016, saya dengan pasukan penyelidik yang saya terajui telah menjalankan satu penyelidikan politik dan pilihan raya.

Saya masih ingat satu daripada soalan dalam borang soal selidik yang mengandungi sekitar seratus soalan adalah mengenai kemasukan Umno ke Sarawak. Soalan itu berbunyi: “Umno perlu dibenarkan untuk bertapak di Sarawak” dengan pilihan jawapan ya atau tidak.

Daripada 10,000 responden yang mengisi borang, 92 peratus berpendirian bahawa parti tulang belakang BN ketika itu, tidak harus diberi peluang untuk melebarkan sayapnya ke negeri ini.

Responden adalah dari seluruh Sarawak, dari Lundu sampai ke Lawas. Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan kepercayaan, tua muda, dan lelaki perempuan.

Saya sebenarnya tidak terkejut dengan dapatan berkenaan kerana sentimen dalam kalangan rakyat ketika itu adalah negatif terhadap Umno.

Umno dipersepsi dan dianggap sebagai parti yang bermasalah, dipimpin oleh mereka yang korup.

Parti yang ditubuhkan pada 1946 itu disifatkan sebagai tidak sesuai dengan demografi Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.

Di Semenanjung Malaysia, Umno dianggotai oleh orang Melayu yang tentunya Islam.

Asas perjuangan Umno ialah mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Falsafah dan perjuangan Umno tidak sama dengan GPS dan parti politik di Sarawak.

Umno dilihat dan dipersepsi sebagai parti yang begitu kemelayuan dan keislaman walaupun tidak seislam Pas.

Imej sedemikian tidak membantu Umno untuk bertapak dan melebarkan sayapnya di Sarawak yang terkenal dengan keharmonian hubungan kaum dan agama.

Tidak dinafikan, memang ada yang mahukan Umno di Sarawak. Sebelum ini pun ada yang berusaha untuk membawa Umno ke Sarawak.

Tun Abdul Rahman Yakub, misalnya pernah berusaha untuk membawa parti itu ke Sarawak pada 1960-an, tetapi akhirnya ia tidak menjadi kenyataan.

Malah, beberapa pihak berusaha berbuat demikian, hingga awal abad ini, tetapi semuanya tidak berhasil.

Pada Khamis Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Presiden GPS menegaskan bahawa Umno tidak akan dibenarkan untuk melebarkan sayapnya di Sarawak.

Menyifatkan parti itu sebagai ekstrem, beliau berkata, ada daripada ahlinya telah menyentuh sentimen agama kerana ia tidak faham akan budaya di negeri ini.

Untuk itu, menurut Abang Johari yang juga Presiden PBB, Sarawak tidak akan membenarkan Umno bertapak di negeri ini.

Malah, enam hari selepas dilantik menjadi Ketua Menteri pada Januari 2017 menegaskan, selagi beliau menjadi Ketua Menteri, selagi itulah Umno tidak akan dibenarkan untuk bertapak di Sarawak.

“Kita akan bekerjasama di bawah semangat Barisan Nasional tetapi Umno tidak akan datang ke Sarawak,” katanya sekali gus.

Sebelum itu, Abang Johari dilemparkan dengan tuduhan jahat pihak tertentu berkaitan Umno. Itu dengan sendirinya menepis tuduhan jahat pihak tertentu bahawa jika beliau menjadi Ketua Menteri, beliau akan membenarkan parti itu ke Sarawak.

Pendirian tegas Abang Johari tidak membenarkan Umno ke Sarawak, bagi pemerhati politik mencerminkan betapa beliau bertegas menentang sebarang usaha membawa parti Melayu dengan tiga juta keahlian itu ke Bumi Kenyalang.

Hanya Sarawak tidak mempunyai cawangan Umno, dengan Sabah merupakan negeri terakhir ia bertapak.

Kemasukan Umno ke Sabah kerana keperluan politik untuk menyingkirkan Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada 1991 adalah kerana kepemimpinan politik di Sabah lemah.

Sebelum ini, Tan Sri Adenan Satem turut mempunyai pendirian yang sama. Dalam satu kenyataan, Adenan dipetik sebagai berkata:”Kita tidak mahu Umno masuk ke Sarawak… Orang Melayu di Sarawak mahu bekerjasama dengan bumiputera Iban, Bidayuh dan Orang Ulu dan PBB sangat berjaya dalam hal ini. Jadi, mengapa perlu diubah?”

Hakikatnya, selagi PBB, parti tulang belakang GPS kuat, selagi itu, tidak ada sebab Umno dibenarkan masuk.

Sebelum ini sudah terdapat persetujuan antara pemimpin terdahulu untuk tidak membenarkan Umno melebarkan sayapnya ke Sarawak, termasuk di bawah kepemimpinan Tun Abdul Taib Mahmud dan Tan Sri Adenan Satem.

Sementara itu, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak pernah berhasrat memasuki Sarawak kerana ia meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap parti-parti tempatan di negeri tersebut.

Malah, jauh sebelum itu sudah ada perjanjian budiman antara Taib Mahmud dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang tidak membenarkan Umno bertapak di Sarawak.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga pernah memberi jaminan Umno tidak akan sesekali melebarkan sayapnya ke Sarawak kerana parti komponen sedia ada di negeri ini sudah cukup kuat untuk memimpin.

“Di Sarawak kita sudah memiliki sebuah parti yang selayaknya memimpin, selain berupaya menyatukan semua kaum dan etnik di negeri ini. PBB sebagai parti tulang belakang BN Sarawak adalah sebuah parti yang cukup berpengaruh di negeri ini. Dalam apa juga keadaan, PBB boleh menyumbang kerusi yang agak besar, ” kata Najib pada 2015.

Najib berkata, beliau cukup mengagumi pencapaian PBB, malah akan terus memastikan parti itu menjadi tonggak kekuatan Sarawak dan jentera pentadbiran Kerajaan Negeri.

Ternyata, jalan terbaik untuk memastikan Umno tidak ke Sarawak adalah dengan memastikan parti tempatan utama Sarawak, PBB, terus diberi mandat dalam pilihan raya akan datang.

Pendirian Abang Johari untuk tidak membenarkan Umno bertapak di negeri ini, tentu diterima baik oleh rakyat pelbagai kaum di Sarawak.