BAU: Pembukaan Pusat Kelab Muay Thai Bau di Pekan Tondong di sini bakal melahirkan individu berbakat dalam sukan tersebut di kawasan DUN Tasik Biru dan Sarawak amnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, menerusi Kelab Muay Thai itu, ia sekaligus memberi pendedahan kepada golongan muda untuk menyertai sukan berkenaan.
Jelas beliau, pihaknya bersedia membantu kelab muay thai itu dan mereka yang berminat
dengan sukan tersebut untuk menjalani latihan dengan selesa.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Pegawai Daerah Bau yang telah meluluskan bangunan kerajaan ini yang telah lama tidak digunakan kepada kelab Muay Thai Bau,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Pusat Kelab MuayThai Bau di Pekan Tondong, semalam.
Dalam pada itu, beliau yakin penubuhan kelab tersebut adalah satu program yang boleh menjauhkan individu daripada gejala sosial yang tidak diingini.
“Saya yakin, kelab ini juga mampu melahirkan lebih ramai pelapis muay thai yang boleh menyumbang kepada negeri dalam sukan itu,” ujarnya.
Turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam.