KUCHING: Penganalisis politik Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat mungkin sudah ada persetujuan antara Umno dengan PBB secara tidak bertulis untuk saling menghormati.

Menurutnya, ia dapat dilihat apabila Umno tidak mengembangkan sayapnya ke Sarawak sejak Sarawak dipimpin mantan Ketua Menteri yang kini Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

“Persetujuan bersama itu terus dihormati oleh Umno dalam era pemerintahan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem diteruskan ketika pentadbiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Malah, Kerajaan Sarawak tetap menerima baik kepimpinan Tun Mahathir Mohamad ketika era BN dan menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun juga ketika Tun Mahathir menjadi Presiden Umno,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Tambah Awang Azman, ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, mereka terus menjaga hubungan baik dengan Kerajaan Sarawak.

“Ini menyebabkan tiada sebarang usaha untuk Umno bertapak di Sarawak. “Ketika Najib sebagai Perdana Menteri juga Presiden Umno, beliau mengunjungi Sarawak lebih 60 kali dengan membawa projek Lebuh Raya Pan Borneo,” jelasnya.

Justeru katanya, kenyataan Abang Johari bahawa Sarawak tidak memerlukan Umno bertapak di negeri ini sangat jelas.

“GPS tetap mempunyai hubungan baik dengan Umno, cuma tak selesa dalam beberapa hal seperti dasar yang diamalkan oleh parti berpangkalan di Semenanjung Malaysia itu.

“Begitu juga dengan Pas, apabila GPS satu blok dengan PN yang ada Pas, cuma GPS tidak mahu bekerjsama dengan Pas dan Umno di peringkat Sarawak kerana tidak mahu kerusi GPS terjejas,” ujarnya.

Terdahulu, Abang Johari berkata pada satu majlis pada Khamis untuk menolak Umno mengembangkan sayap di Sarawak kerana parti itu tidak memahami budaya negeri ini.

Sementara itu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan partinya tidak akan pernah berhasrat untuk masuk ke Sarawak.

Dalam ciapan di Twitternya, beliau memberitahu ia keputusan muktamad. “Umno yakin dengan PBB, sementelahan GPS telah dibentuk yang merangkumkan kekuatan parti komponen yang dahulunya dalam BN.

“Umno doakan agar GPS akan terus membentuk kerajaan negeri apabila PRN diadakan kelak,” katanya.