BAU: Orang ramai khususnya di kawasan Jagoi, Bau kini boleh mengunjungi Gerai Tani Jagoi yang telah ‘dihidupkan’ setelah menjalani proses naiktaraf.

Antara naiktaraf yang telah dilakukan untuk ‘menghidupkan’ kembali Gerai Tani Jagoi termasuklah mengecat keseluruhan struktur gerai, membina tandas awam, dan menggantikan bumbung yang rosak dengan yang baharu.

Usaha untuk ‘menghidupkan’ kembali gerai tersebut telah dijalankan dengan peruntukkan sebanyak RM20,000 yang telah diberikan oleh Kerajaan Sarawak melalui Majlis Daerah Bau (MDB).

Gerai Tani Jagoi yang telah wujud sejak beberapa tahun yang lalu selepas dibina oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah terbiar untuk seketika akibat ketiadaan peniaga yang ingin berniaga di situ.

Setakat ini, Gerai Tani Jagoi mempunyai lapan orang peniaga dan kini masih dalam proses untuk memohon permit perniagaan dan MDB akan membuka permohonan permit perniagaan kepada mereka yang ingin berniaga di gerai tersebut.

Mengambil contoh Pasar Minggu Serikin, Henry berkata tempat tersebut dahulunya hanya mempunyai sekitar 200 orang yang berniaga secara aktif disitu, kini semakin berkembang dengan penyertaan lebih 400 peniaga yang berniaga secara aktif di pasar tersebut.

“Kita tidak kira berapa ramai pengunjung yang bertandang ke situ (Pasar Minggu Serikin), tetapi apabila kita melihat terdapatnya kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut, tempat itu memang terbukti sangat popular”, ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, impak penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu telah dilihat memberi impak yang besar kepada peniaga yang berniaga di Pasar Minggu Serikin.

“Kini, peniaga yang berniaga di Pasar Minggu Serikin sudah mula berpindah dan mula berniaga di Pasar Bau kerana kurangnya bilangan pengunjung datang ke Pasar Minggu Serikin.

“Nasib baik kita telah sediakan satu tapak untuk berniaga di Pasar Bau terlebih dahulu sebelum penularan wabak Covid-19, maka mereka mempunyai tempat untuk berniaga di sana”, katanya.

Beliau juga menambah kerajaan juga akan memastikan penduduk tempatan untuk bersiap sedia berikutan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Serikin.

“Apabila pintu sempadan dibuka pada masa akan datang, kita menjangkakan lebih ramai yang akan berkunjung ke sini dan aktiviti perniagaan kembali rancak. Kami akan memastikan penduduk disini bersiap sedia dan memanfaatkan peluang ini untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan dan bukannya hanya menjadi ‘penonton’.

“Kalau boleh, kita mahu kurangkan ‘penonton’ itu dan berharap lebih banyak penduduk disekitar kawasan ini berkecimpung dalam dunia perniagaan,” tambahnya.

Henry berkata demikian ketika berucap di Program Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Majlis Perasmian Gerai Tani Jagoi di Kampung Jagoi Sri’ieng, Bau, semalam.
Tinjauan Suara Sarawak semalam mendapati Gerai Tani Jagoi telah pun mula dikunjungi penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.

Antara jenis barangan yang dijual di Gerai Tani Jagoi adalah hasil tanaman, ikan segar, kuih-muih, bunga perhiasan, air minuman, dan sebagainya.