HANOI: Vietnam melupuskan sekurang-kurangnya 43,150 ekor babi, bersamaan dengan berat kira-kira 2,157 tan, sejak awal tahun ini untuk mengekang penularan demam babi Afrika.

Mengutip Vietnam News, Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar berkata 199 komuniti dari 72 daerah di 19 wilayah dan bandar Vietnam itu masih dilanda wabak ini dalam tempoh 21 hari yang lalu.

Laporan itu mengatakan wabak itu berlaku di kebanyakan kawasan pergunungan utara Vietnam termasuk wilayah Lang Son, Cao Bang dan Bac Kan.

Sementara itu, penularan demam babi Afrika itu turut ditemui dalam isi rumah ternakan kecil yang gagal memastikan keselamatan, kata agensi berita yang memetik Pham Van Dong, ketua Jabatan Kesihatan Haiwan di bawah kementerian itu.

Jumlah perbelanjaan untuk memerangi demam babi Afrika di Vietnam, termasuk dana daripada belanjawan pusat dan belanjawan tempatan serta dana yang disokong oleh bank dan institusi kredit, sudah mencapai lebih daripada AS$565.2 juta (RM2343.04) setakat Julai ini.

Pada 2019, demam babi Afrika merebak di seluruh wilayah dan bandar Vietnam, yang menyebabkan kematian serta pelupusan sekitar 5.9 juta ekor babi.