MIRI: Ketua Menteri  berkata GPS yang diterajuinya enggan bekerjasama dengan DAP selepas kejatuhan Kerajaan PH  Februari lalu susulan tindak-tanduk parti berkenaan ketika menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan yang melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas t terhadap Sarawak.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, DAP Sarawak cuba memujuk GPS untuk menyertai Pakatan Harapan dan melupakan sengketa lama.

“Pembangkang tanya, mengapa kita (GPS) mahu bersama-sama Pas dan Bersatu. Saya kata, kita hanya menubuhkan kerajaan pusat demi rakyat Malaysia.

“DAP kemudiannya keluarkan kenyataan meminta sokongan GPS dengan mengatakan apa yang berlalu, biarkan berlalu,” katanya lagi.

“Waktu itu, apa yang berlaku ialah DAP Sarawak mengeluarkan kenyataan minta GPS sokong mereka dan berkata – yang sudah lepas adalah lepas serta mengajak kita bekerjasama menyokong Pakatan Harapan,” kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Antara yang dilemparkan oleh DAP, terutama Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng ialah  Sarawak akan bankrap.

Selain itu Kerajaan PH turut membatalkan banyak projek infrastruktur yang telah dimuktamadkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14

“Mereka ingat PBB bodohkah, lepas kata kita akan bankrap dalam tempoh tiga tahun kerana dasar kita hendak menolong rakyat Sarawak. Mereka telah batalkan projek jambatan, kita ambil alih,” katanya dalam ucapan di Konvensyen Khas PBB Zon Utara di sini pada Sabtu.

“Kemudian sekarang, senang-senang nak kata yang lepas adalah lepas, kita boleh mesra. Kita ialah pejuang. Sekali musuh selama-lamanya tetap musuh,” kata Abang Johari yang juga Pengerusi GPS dan Presiden PBB.

“Bukan hendak kata yang kita tak akan bertukar tapi apabila mereka mengatakan kita akan kita bankrap, itu yang saya tidak dapat terima. Kita dah lebih tiga tahun di bawah pimpinan saya. Duit kita masih bertimbun-timbun dan disimpan untuk ambil alih semua projek besar. Kita ada pembiayaan alternatif, kita ada belajar teori perbankan, kita tahu kewangan, ini yang kita buat, di bawah GPS, presiden kita juga bukan bodoh,” katanya lagi.

Konvensyen Khas itu dihadiri sekitar 900 orang bertemakan ‘Hak Sarawak Diutamakan, pembangunan Diperkasakan”.

Ketua Menteri mendedahkan parti itu dipelawa oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, pelawaan itu ditolak dengan cara baik kerana GPS ada pendirian dan perjuangan politiknya tersendiri, namun terbuka untuk bekerjasama dengan PN.

“Tan Sri (Muhyiddin) tanya, adakah anda (GPS) akan menjadi anggota Perikatan Nasional.

“Saya kata tidak, kerana kami bergerak sendiri dan kerajaan pusat adalah ‘PN campur GPS’,” jelas Abang Johari lagi.