Spekulasi bahawa PAS akan bertanding di Sarawak sangat menarik. Malah, baru-baru ini dikatakan Parti Islam SeMalaysia (PAS) Sarawak telah mengenalpasti beberapa kawasan untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) termasuk kawasan tradisi PAS di negeri ini.

Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan oleh Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee menegaskan bahawa PAS Sarawak telah bersedia menghadapi PRN12 dan juga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang. Menurut beliau lagi, PAS Sarawak akan mencalonkan anak Sarawak daripada pelbagai latar belakang akademik untuk dijadikan calon PAS. Begitu juga kalangan aktivis masyarakat akan turut dicalonkan mengikut keperluan setempat dan berkebolehan yang dapat membawa aspirasi anak Sarawak.

Impian Pas

Jofri menyatakan bahawa kebolehan pimpinan tempatan PAS menyuarakan pelbagai isu terutama di media massa membuktikan usaha gigih PAS bekerja untuk rakyat dan mulai mendapat tempat kalangan masyarakat secara beransur-ansur. Beliau mendakwa bilik-bilik gerakan PAS kini menjadi tempat penduduk merujuk dan mengadu permasalahan setempat.

Beliau juga mendakwa kemasukan ahli terutama masyarakat Iban membuktikan PAS terus diterima dan mendapat tempat. Parti PAS telah bertapak di Sarawak pada tahun 1996, lebih awal daripada parti PKR atau dikenali sebagai Keadilan yang bertapak pada tahun 1999. Justeru, Pas telah lama bertapak di Sarawak dan terlibat dalam pilihan raya negeri meskipun tidak pernah memenangi kerusi dewan undangan negeri atau kerusi parlimen Sarawak.

Penglibatan PAS dalam pilihan raya lepas tanpa tanpa mempunyai kerjasama politik sudah membuktikan PAS sudah dikenali di peringkat akar umbi, maka parti tersebut yakin akan akan menang dengan situasi semasa apabila PAS berada dalam kerajaan persekutuan.
Penyertaan PAS dalam Perikatan Nasional menyebabkan PAS kembali dalam kerajaan persekutuan sejak PAS keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1978. Ini bermakna sudah kira-kira 32 tahun PAS tidak berada dalam kerajaan. Apabila berada dalam Kerajaan Perikatan, sudah pasti, PAS mahu mengambil setiap peluang yang ada termasuk di peringkat pimpinan bawah mereka agar mereka mendapat sekurang-kurang satu kerusi. Kerusi PAS idamkan ialah kerusi Beting Maro yang selalu menang tipis oleh calon BN terdahulu.

Reaksi GPS

Namun niat PAS untuk bertanding dalam PRN Sarawak dilihat sebagai sekadar impian semata-mata dan tidak mencerminkan pendirian PAS Pusat. Hal ini kerana dalam politik Perikatan Nasional Sarawak diberi jaminan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang yang menegaskan kedua-dua parti itu tidak akan bertanding dalam Pilihan raya Negeri Ke-12 (PRN12) tidak lama lagi.

Perkara ini sebenarnya adalah jaminan daripada Perdana Menteri bersama-sama 12 gabungan parti politik dalam pertemuan ketua kesemua parti . Pertemuan ini telah berlangsung selama dua jam yang dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin. Pertemuan ini diadakan pada beberapa bulan lepas. Hasil persetujuan ini sebenarnya seolah-olah diabaikan oleh pemimpin PAS Sarawak yang sengaja mahu mencetuskan bahawa PAS Sarawak sangat penting dalam konteks pilihan raya negeri Sarawak.

Namun dijangka dengan budaya walak Pas, akhirnya Pas Sarawak akur kepada arahan PAS Pusat. Walak bermaksud taat setia atau kepatuhan kepada pemimpin menjadi satu daripada ciri PAS dan banyak ditekan dalam tarbiah Pas. Kadangkala disebut juga walaun yang dikatakan sentiasa mengikut apa saja arahan kepimpinan mereka, terutama daripada presiden. Inilah konsep yang sering digunakan oleh pimpinan parti bagi menuntut kesetiaan daripada pengikut mereka. Konsep ini sangat ampuh dalam mengawal kebebasan ahli parti PAS untuk menentang, atau cuba melawan keputusan kepimpinan tertinggi parti.

Situasi UMNO dan Bersatu di Sarawak

Sebenarnya sudah ada persetujuan bersama secara tidak bertulis bahawa UMNO tidak akan bertapak, apatah lagi bertanding di Sarawak sejak zaman Abdul Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun. Kemudian gentleman agreement ini terus dihormati dalam era pemerintahan Adenan Satem dan Abang Johari menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Walaupun sekali sekali terdapat kritikan Sarawak terhadap UMNO, namun pada keseluruhannya, namun kerajaan negeri tetap menerima baik kepimpinan Mahathir ketika era BN berkuasa dan Mahathir jadi Perdana Menteri ketika 22 tahun berkuasa dan presiden Umno. Malah terdapat rakyat menjadi ahli UMNO dan bergerak aktif di Lembah Kelang sehingga menjadi pengerusi tetap UMNO bahagian.

Ketika Abdullah Badawi dan Najib Razak menjadi Perdana Menteri sekali gus menjadi presiden Umno, hubungan baik pemimpin Sarawak dengan Umno sangat baik dan tidak ada usaha UMNO hendak bertapak di Sarawak. Malah ketika Najib sebagai Perdana Menteri dan selaku presiden Umno ketika itu, beliau datang ke Sarawak lebih 60 kali dan bawa projek mega kepada pembangunan negeri Sarawak yang dikenali sebagai projek Pan Borneo yang menghubungkan jalan utama dari Teluk Melano hingga ke utara Sarawak yang kini (sehingga Julai 2020) dikatakan 52 peratus siap dan siap sepenuhnya pada tahun 2022.

Justeru, kenyataan Ketua Menteri Sarawak mengenai Umno kurang sesuai di Sarawak terbaru lebih kepada penegaskan tidak mahu Umno bertapak di Sarawak. Pada masa yang sama GPS tetap mempunyai hubungan baik dengan UMNO, cuma tidak selesa dalam beberapa hal seperti dasar left right Umno.

Isu dan Realiti Politik

Begitu juga dengan keberadaan Pas, iaitu hakikat GPS satu blok dengan Perikatan Nasional bersama Pas, cuma GPS tidak mahu bekerjasama dengan PAS dan UMNO di peringkat Sarawak kerana boleh menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat Sarawak dan ini akan mengakibatkan kerusi GPS terjejas.

Isu Bible yang dibawa oleh ahli parlimen PAS, dan isu sekolah vernakular ialah isu bersifat ‘kesemenanjungan’ yang tidak ada kaitan dengan dasar kerajaan negeri Sarawak yang dikuasai oleh GPS. Maka, kesannya sangat minima dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang kerana pengundi Sarawak lebih fokus kepada isu tempatan atau setempat.

Bersatu Sarawak pula seolah-olah mahu bertanding kerana Ali Biju dan Willie Mongin menyertai Bersatu. Namun dijangka rundingan politik dibuat dalam komponen GPS untuk 2 ahli parlimen dan 1 DUN bagi menyertai mana-mana komponen GPS.Lagipun wakil rakyat Bersatu Sarawak sedar mereka sangat kurang pengaruh dan pengikut di Sarawak.

Maka untuk menggerakkan kempen dan jentera parti sangat sukar lebih-lebih berdepan dengan suasana geo-politik Sarawak yang sangat luas. Maka, jalan terbaik untuk wakil rakyat tersebut ialah menyertai mana-mana komponen GPS atau bersedia menghadapi kekalahan dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.