BINTULU: Seorang penganggur dicekup kerana memiliki dadah jenis methamphetime atau syabu dalam serbuan di Taman Sri Dagang, Jalan Masjid, di sini, Sabtu petang.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata penganggur warga asing berumur 26 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, saspek ditangkap sepasukan polis dari Balai Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu diketuai Inspektor Nicholas Golibin hasil maklumat awam.

Pemeriksaan ke atas kereta saspek, katanya, membawa kepada penemuan enam keratan tiub straw lutsinar kekuningan, berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine(syabu) berat kasar 5.24 gram dengan anggaran nilai pasaran RM1000

Manakala, hasil ujian saringan air kencing ke atas saspek pula, mendapati sabjek positif dadah methamphetamine dan amphetamin sambil menambah siasatan awal polis mendapati saspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Menurut Zulkipli lagi, selain disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan  Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada tiga hingga sembilan kali sebatan.

Manakala, bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952 pula, jika disabitkan kesalahan denda tidak melibihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan dua tahun.