ANGKA jangkitan baharu Covid-19 dunia terus meningkat kepada lebih 280,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Ini menjadikan jumlah kumulatif global kini mencecah angka 27.04 juta kes.

Data terbaharu menunjukkan Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 6.42 juta kes jangkitan dengan  lebih 192,000 kematian.

Ini diikuti Brazil dengan 4.12 juta kes dengan lebih 126,000 kematian, manakala India merekodkan 4.11 juta kes dengan lebih 70,000 kematian.

Jangkitan Covid-19 di Rusia pula melepasi angka 1 juta kes dengan lebih 17,000 kematian.

Sementara itu, Peru, Afrika Selatan, Colombia dan Mexico melepasi angka setengah juta kes.

Peru merekodkan lebih 676,000 kes jangkitan dengan lebih 29,000 kematian.

Colombia pula merekodkan lebih 658,000 kes jangkitan dengan lebih 21,000 kematian.

Afrika Selatan mencatatkan lebih 636,000 kes  jangkitan dengan lebih 14,000 kematian.

Mexico pula merekodkan lebih 623,000 kes dengan lebih 66,000 kematian.

Enam negara yang melepasi angka 300,000 termasuk Sepanyol, Chile, Argentina, Iran, United Kingdom, Perancis, Arab Saudi dan Bangladesh.

Enam lagi negara merekodkan angka positif melebihi 200,000 termasuk Pakistan, Turki, Itali, Jerman, Iraq dan Filipina.