CANBERRA: Seorang wanita tidak menyangka tindakannya melangkah beberapa tapak ke belakang dari tempat dia berdiri menunggu bas telah menyelamatkan nyawanya.

Insiden itu dirakam CCTV milik kedai FLICK ‘n’ FISH bait & tackle yang menyaksikan selang beberapa saat selepas Karyn Johnson berpusing ke belakang dan melangkah dari tempat tersebut, sebuah kereta tiba-tiba merempuh beg dan barangan miliknya.

Kereta yang dikatakan hilang kawalan itu melanggar barangan tersebut sebelum merempuh kedai di hadapannya menyebabkan kedai terbabit rosak teruk.

Johnson yang masih terkejut dengan insiden yang nyaris-nyaris meragut nyawanya memberitahu dia tidak tahu mengapa hatinya terdetik untuk bergerak ke belakang pada waktu itu.

Dia menoleh ke arah begnya selepas mendengar bunyi barangannya dilanggar.

Menurutnya lagi sebaik sahaja melihat barang-barangnya dilanggar dia sempat memeriksa dirinya untuk memastikan dia tidak mengalami sebarang kecederaan kerana jaraknya dengan kereta itu terlalu dekat.

Pemandu kereta tersebut cedera teruk dan dikejarkan ke hospital.