SARATOK: Seorang lelaki dicekup polis kerana didapati terlibat dengan kegiatan judi dalam talian (online) jam 3. 40 petang semalam.

Dalam Ops Dadu yang dijalankan oleh pihak polis tangkapan dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun bertempat di sebuah premis medan selera di belakang sebuah farmasi di sini.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu ketika diserbu suspek sedang menjalankan kegiatan judi haram iaitu penjualan kad tambah nilai judi secara ‘online’.

“Sepasukan anggota JSJ IPD Saratok telah melakukan pemeriksaan terhadap suspek. Setelah diperiksa didapati barang-barang yang digunakan untuk penjualan reload judi online berada bersama dengan lelaki tersebut. Pihak polis menahan suspek dan barang rampasan.

“Butiran rampasan adalah 1unit telefon bimbit jenama Lenovo beserta simkad Maxis,3 keping kertas kecil tercatat disyaki nombor id judi atas talian ditanda MH2(a), MH2(b) dan MH2(c), 1 batang pen dakwat hitam jenama Lovein dan 22 keping wang tunai campur-campur berjumlah RM69.00,” ujarnya.

Tambah Mordani, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Saratok untuk siasatan lanjut di bawah Sek. 4(1)(c) ARJT 1953 kerana menjalankan kegiatan Judi ‘online’.

Permohonan reman untuk suspek akan dipohon esok (5 September).