MIRI: Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berharap Konvensyen Khas PBB Zon Utara di sini hari ini dapat mempersiapkan dan memberi motivasi kepada ahli parti itu untuk memperjuangkan hala tuju parti dan menang dalam pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berharap ahli parti akan dapat menyebarkan maklumat tentang inisiatif dan dasar kerajaan pimpinan GPS di peringkat akar umbi, terutamanya dalam kalangan ahli parti.

“”Saya berharap konvensyen ini akan meningkatkan kerjasama, perpaduan dan kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk terus memimpin Sarawak,” katanya dalam satu wawancara khas di pejabatnya di Kuching pada Khamis.

Konvensyen ini diadakan sehari sahaja diadakan di sebuah hotel di sini.

Konvensyen khas akan turut diadakan di Sibu, Betong, dan Kuching selepas ini.

Konvensyen di sini membabitkan 17 cawangan PBB. Delegasi terdiri daripada AJK PBB termasuk sayap Bapa, Pergerakan Pemuda dan Wanita, dan semua wakil rakyat.

“Disebabkan kita hanya dibenarkan menggunakan 50 peratus daripada kapasiti dewan, kita menjangka sekitar 800 hingga 800 peserta saja,” kata Awang Tengah yang juga pengerusi penganjur Konvensyen Khas Zon Utara.

Konvensyen Khas itu bertemakan, “Hak Sarawak Diutamakan, Pembangunan Diperkasakan.’

Antara isu yang dijangka disentuh dalam konvensyen itu adalah mengenai pentadbiran tanah adat bumiputera di Sarawak dan hala tuju industri minyak dan gas.