PENYEBARAN berita palsu dalam kalangan masyarakat umpama wabak tanpa vaksin, ia seolaholah tidak dapat dibendung sama sekali.

Perkara ini dapat dilihat apabila teknologi digunakan secara berleluasa atau lebih tepat teknologi menjadi ‘raja’ dalam kalangan masyarakat kita.

Bagaimanapun, wajarkah kita menyalahkan teknologi dalam hal ini? Jawapannya adalah tidak wajar.

Teknologi dikembangkan adalah untuk membantu dan memberikan kemudahan kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat.

Tetapi, terdapat segelintir individu yang menyalahgunakan kemudahan tersebut.

Apakah maksud berita palsu? Adakah semua pihak menyedari akan definisi sebenar berita palsu ini?

Berita palsu adalah sejenis kewartawanan kuning atau propaganda yang terdiri daripada penyebaran maklumat salah atau olok-olok secara sengaja melalui media, sama ada akhbar tradisional, media penyiaran mahupun media sosial melalui dalam talian.

Berita palsu ini bukan sahaja melibatkan penularan. Berita berhubung dengan Covid-19 tetapi juga perkara-perkara yang lain. Lebih menyedihkan berita palsu ini menyebabkan orang yang tidak bersalah dipersalahkan dan menjadi tular dalam laman sosial seperti Facebook, Instagram, aplikasi WhatsApp dan lain-lain.

Ia mendatangkan masalah kepada pihak yang menjadi mangsa tular ini. Mereka bukan sahaja menanggung malu, bahkan terdedah kepada bahaya atau ancaman.

Perkara ini juga boleh mendatangkan tekanan kepada mereka dan sebagainya. Jadi, perbuatan menyebarkan berita tanpa usul periksa itu bukan sesuatu yang baik.

Penularan berita palsu juga berlaku di Sarawak, ketika krisis Covid-19 dalam keadaan yang membimbangkan.

Perkara tersebut telah mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sehingga beliau menasihatkan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk berhenti menyebarkan berita palsu.

Menurut Abang Johari, orang ramai dinasihatkan supaya berhenti menyebarkan berita palsu atau tidak disahkan berkenaan penularan wabak Covid-19 di media sosial.

Tambahnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang berbuat demikian.

Ketika itu, beliau mendedahkan kesemua suspek yang terlibat dalam penularan berita palsu tentang Covid-19 akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali dan juga akan dikenakan denda tambahan sebanyak RM1,000 untuk setiap hari, iaitu kesalahan berterusan selepas disabitkan.

Melihat kepada denda yang dikenakan, adakah kita tidak berasa bimbang jika kita terlibat dalam penularan berita palsu?

Tindakan penyebaran sesuatu perkara tanpa usul periksa itu bukan sesuatu yang bijak.

Sebaiknya kita perlu mencari maklumat tentang kesahihan berita sebelum menyebarkannya. Jadi dalam keadaan kita terdedah dengan teknologi kini, kita perlu menjadi masyarakat yang bijak bukan hanya dengan menguasai teknologi semata-mata tetapi juga bijak dalam memilih perkara yang hendak dikongsikan.

Oleh itu, media arus perdana, sama ada cetak atau digital merupakan rujukan terbaik bagi orang ramai untuk membuat penilaian sama ada berita benar atau palsu.

Ini kerana setiap maklumat dalam media arus perdana adalah benar, kerana ia berlandaskan sumber dan fakta yang sahih, yakni mempunyai nilai kredibiliti dan boleh dipercayai.

Ini kerana media arus perdana sentiasa menekankan aspek etika kewartawanan dalam setiap berita yang ditulis.

Oleh itu, masyarakat hari ini mesti bijak dalam membuat penilaian sama ada sesuatu berita itu benar atau sebaliknya.

Lihat sahaja dari saluran mana berita tersebut, atau lihat ciri-ciri penulisannya, adakah ia mempunyai nilai-nilai kewartawanan, atau hanya ditulis secara sembarangan, tanpa sumber atau fakta yang tepat dan sahih, lebih-lebih lagi ketika menjelangnya pilihan raya.

Sebagai rakyat, kita mempunyai tanggungjawab untuk tidak mudah terperangkap dengan berita palsu, kerana ia bukan sahaja memberikan gambaran buruk terhadap sesuatu perkara atau seseorang, tetapi boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman rakyat di negara kita.