MEXICO: Sekitar 35 wanita muda ditahan baru-baru selepas didapati cuba menipu semasa menduduki peperiksaan pemilihan masuk ke sekolah pendidikan guru di Michoacán, Mexico.

Mereka dikatakan menipu dengan cara menulis jawapan pada kuku jari masing-masing.

Seluruh proses kemasukan ke sekolah pendidikan guru ini dari peringkat pertama sehingga ke peringkat akhir disyaki dipenuhi penipuan selepas beberapa pelajar didapati membeli kertas jawapan dengan harga 15,000 ke 25,000 peso.

Biarpun tiada bukti sahih, namun dakwaan itu disahkan apabila ramai pelajar memperoleh keputusan cemerlang di kawasan majlis perbandaran Michoacán.

Menurut laporan media tempatan 50 calon berjaya menjawab semua 100 soalan dengan betul, manakala 300 calon lain berjaya menjawab 99 dan 90 soalan dengan betul. Ia luar biasa sedangkan markah tertinggi yang diperoleh calon dari majlis perbandaran lain hanya 71 jawapan betul.

Bagi menghilangkan semua kecurigaan penipuan, pihak berkuasa memutuskan mengulangi ujian pada 21 Ogos lepas, dan akhirnya berjaya menangkap sekurang-kurangnya 35 wanita di bandar Morelia dan Arteaga yang berusaha menipu menggunakan kaedah yang sangat cerdik.

Biarpun menggunakan warna berbeza, namun semua kuku jari mereka mempunyai corak yang sama iaitu jawapan untuk keseluruhan 100 soalan.

Biarpun mereka disahkan cuba menipu dalam peperiksaan ini, namun mereka tidak dilarang mengambil peperiksaan.

Sebaliknya, mereka dipisahkan dari anggota kumpulan yang lain dan diminta memakai sarung tangan untuk menyembunyikan keseluruhan tangan mereka, atau sekurang-kurangnya menutup kuku mereka yang dicat dengan pita pelekat.