BAU: Seorang penganggur lelaki berusia 20 tahun dicekup polis setelah didapati terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di rumahnya berhampiran Taman Mutiara, Jalan Jambusan, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek ditahan hasil serbuan Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dadah Bau di lokasi sekitar jam 10.45 pagi.

“Pemeriksaan awal terhadap suspek berjaya menemui sepeket plastik kecil lutsinar berisi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.52 gram dianggarkan bernilai RM60.

“Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” jelasnya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambahnya, suspek seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan lanjut.

Katanya, tahanan reman terhadap suspek akan dipohon pada 2 September 2020.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tegas beliau, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.