JAKARTA: Adakah anda mempunyai tanah untuk dijual? Itu adalah pertanyaan bernilai jutaan dolar yang menjadi topik hangat di Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara tahun lalu.

Ia berikutan kenyataan Presiden Joko Widodo atau Jokowi bahawa ibu kota Indonesia akan dipindahkan di wilayah Kalimantan Timur.

Mengutip CNA, rancangan untuk memindahkan ibu negara itu dianggap perlu memandangkan Jakarta dengan 10 juta jiwa itu sudah terlalu padat dan tercemar serta bertahun-tahun bergelut dengan masalah kesesakan lalu lintas yang menyebabkan kerugian ekonomi sehingga AS$7 bilion (RM29.16 bilion) setiap tahun.

Ia juga merupakan salah satu kota yang diramalkan paling cepat tenggelam di bumi dengan pakar meramalkan kemungkinan akan tenggelam pada 2050 jika kadar semasa terus berlanjutan.

Daerah Penajam Paser Utara dan Kutai Kertanegara sebaliknya, mempunyai risiko minimum dilanda bencana alam, menurut Jokowi dalam pengumumannya dan menambah secara geografi nya berada di tengah-tengah negara dengan pemerintah sudah memiliki sekitar 180,000 hektar tanah.

Pengumuman pemerintah pada Ogos tahun lalu menyebabkan lonjakan permintaan tanah di lokasi bakal ibu kota baharu itu. Tetapi pandemik Covid-19 dan kelewatan dalam pembangunan menyebabkan permintaannya semakin sepi buat masa ini.

Menurut penduduk yang ditemu bual oleh CNA, tanah di sekitar bakal ibu kota masih dicari dan dilihat sebagai pelaburan yang baik untuk masa depan.

Namun begitu, pandemik Covid-19 menyebabkan kerajaan mengubah fokus utamanya, menangguhkan pembangunan projek bernilai 466 trilion rupiah (AS$32 bilion) itu.

Kini rancangan pembukaan ibu kota baharu ditangguhkan, dengan kerajaan beberapa kali menegaskan bahawa ia masih perlu dibangunkan apabila tiba waktu yang sesuai.

Disebabkan itu, penjualan tanah sekali gus bukan lagi menjadi topik yang hangat dibincangkan di bandar berkenaan. “Tiada sesiapa yang membicarakan hal tanah ini, tidak seperti tahun lalu,” kata Eko, pemilik restoran di Penajam Paser Utara.