Ketika kita hendak menyambut Hari Kebangsaan, tular sebuah video yang memaparkan bagaimana beberapa orang rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum ditanya tentang pelbagai perkara mengenai negara ini. Ini termasuk tentang bendera Malaysia, pemimpin negara dan Rukun Negara.

Ya, jawapan sebahagian mereka bukan sahaja salah, tetapi amat memalukan, sekali gus menggambarkan betapa sebahagian rakyat negara ini tidak mempedulikan hal-hal yang berkaitan dengan kenegaraan dan sejarah negara.

Di manakah silapnya sehingga ada yang tidak kenal akan pemimpin negara, Rukun Negara dan jalur gemilang? 

Adakah kita gagal dalam sistem pendidikan kita untuk menyemai rasa cinta kepada negara? Adakah mata pelajaran Sejarah hanya untuk lulus dalam peperiksaan atau hanya untuk pelajar sekolah? Mengapakah soal-soal asas pun, rakyat kita tidak tahu?

Betulkah generasi muda kita semakin tipis dan luntur semangat kebangsaan dan patriotisme mereka? 

Ya, mengapakah perkara sedemikian berlaku? Adakah kerana mereka hidup dalam zaman berbeza, tanpa ancaman komunis dan pengalaman waktu kesengsaraan di bawah pemerintahan Jepun serta cengkaman penjajah?

Cuba tanya rakyat kita, sama ada mereka tahu akan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Esok rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan. Bagi sesetengah rakyat di Sarawak dan Sabah, Hari Kebangsaan tiada kaitan dengan mereka. Ada yang beranggapan hari yang relevan dengan Sarawak hanya Hari Sarawak pada 22 Julai dan Hari Malaysia pada 16 September. 

31 Ogos 1957 ialah tarikh Semenanjung tanah Melayu mencapai kemerdekaan 63 tahun lalu. Ketika itu Malaysia yang terdiri daripada Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura belum lagi wujud. 

Justeru, ada yang mempertikaikan apa relevannya Hari Kebangsaan atau 31 Ogos bagi Sarawak dan Sabah? Bagi pelajar sekolah, mereka belajar daripada buku teks Sejarah bahawa 31 Ogos ialah tarikh kemerdekaan negara. Bagi sesetengah  rakyat Sarawak,  tarikh itu tidak relevan bagi mereka.

Sebagai sebuah negara persekutuan, mahu tidak mahu, kita perlu meraikan tarikh berkenaan, sebagaimana kita juga mengharapkan supaya Hari Malaysia pada 16 September turut diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia. 

Namun, disedari atau tidak, Hari Malaysia seolah-olah hanya relevan untuk rakyat di Sabah dan Sarawak, selepas Singapura tidak lagi bersama-sama Malaysia mulai 1965. 

Keputusan atau langkah menubuhkan Malaysia 57 tahun lalu, umpama keputusan dua keluarga yang hendak bersatu melalui satu perkahwinan. 

Jadi, sebagai sebuah keluarga, hari ulang tahun anggota keluarga lain tentu perlu diraikan bersama-sama, apatah lagi kita sudah hidup di bawah satu bumbung yang sama. 

Kita harus bersikap realistik dan rasional, dengan tidak memainkan sentimen nasionalisme kenegerian atau kewilayahan yang sempit. 

Sebab, sebarang sentimen negatif ke arah itu tidak menguntungkan, malah memudaratkan wawasan dan aspirasi untuk melihat sebuah negara bangsa yang hebat. 

Kita tidak harus mudah terperangkap oleh perjuangan atau pemikiran dan ideologi individu atau puak tertentu yang menganjurkan Hari Kebangsaan tidak harus diraikan oleh rakyat Sabah atau Sarawak.

Tentu amat malang jika rakyat terperangkap dalam naratif sedemikian. Usaha kita untuk membina sebuah negara bangsa tentu akan terjejas, sedangkan kita sepatutnya melangkah ke hadapan sebagai sebuah persekutuan. 

Justeru, sebarang usaha untuk menyemai bibit dan naratif yang tidak sesuai dengan aspirasi pemimpin negara, tidak harus dilayan. Kita perlu menyemai semangat kebangsaan, patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. 

Meskipun bagi segelintir rakyat, kemerdekaan tidak ada maknanya, tetapi kita perlu ingat bahawa kemerdekaan memungkinkan kita bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi juga menentukan nasib dan hala tuju negara serta keluarga.

Kemerdekaan dari perspektif sekarang dan generasi muda mungkin tidak lagi sama dengan sudut pandangan generasi terdahulu.  Malah, kemerdekaan versi saya dan anda kemungkinan tidak sama, malah jauh berbeza. 

Sebab, sejarah, latar belakang, wawasan, nilai, falsafah, dan aspirasi kita tidak sama. Namun satu hal adalah pasti: Kita mahu memastikan hidup kita aman, damai, bahagian, harmoni, bersatu padu dan berjaya dalam semua segi.

Sesungguhnya, perjuangan zaman dahulu dengan sekarang tidak sama. Keadaan sudah jauh berbeza. 

Namun, tentu kita dapat memetik iktibar daripada perjuangan dan pengorbanan daripada para pejuang kemerdekaan, termasuk bagaimana mereka berkorban jiwa raga demi keamanan negara. Hakikatnya, untuk berjaya dan merdeka dalam hidup, dan mencapai kejayaan, kita perlu kesungguhan, komitmen padu, strategi ampuh. 

Kemerdekaan dalam kehidupan bermakna bebas menentukan hala tuju, dan masa depan diri dan keluarga. Tetapi ini hanya dimungkinkan jika seseorang itu memiliki kemahiran, pelajaran, pengalaman, ketekunan serta peluang untuk memajukan diri sehingga mencapai kejayaan dari segi pekerjaan dan kewangan. 

Ini selari dengan maksud merdeka, iaitu  bebas, tidak terikat, tidak bergantung kepada pihak tertentu dan berdiri sendiri. 

Jadi, kemerdekaan bererti kemerdekaan setiap individu, memilik hak asasi yang tidak dapat diganggu-gugat oleh sesiapa pun. Justeru, Hari Kebangsaan ini harus digerakkan dan dimanfaatkan untuk menyatupadukan bangsa, dan bukan untuk memecahbelahkannya.

Kita perlu sentiasa berusaha untuk menjaga keutuhan bangsa Malaysia supaya tidak berpecah dan berkonflik, memelihara, kesatuan, perpaduan dan kesatuan demi kepentingan bersama.

Yang paling penting, kita harus mengisi kemerdekaan ini dengan cara yang bermakna agar akhirnya negara dan bangsa kita dapat berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain dari segi politik, maruah, budaya, teknologi, pendidikan, dan  ekonomi. 

Perjuangan kita belum lagi berakhir, sebaliknya perlu terus disemarakkan. 

Kita perlu terus berjuang demi mengisi erti kemerdekaan sebenarnya bagi memajukan negara tercinta ini. Sebenarnya, mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sukar daripada membebaskan negara ini daripada penjajahan. Jangan sia-siakan kemerdekaan yang telah kita kecapi. Selamat Hari Kebangsaan. Malaysia Prihatin.