MOSCOW: Badan penyiasat insiden membabitkan sekumpulan doktor yang cuba menyelamatkan nyawa wanita selama 30 minit terlepas pandang bahawa dia menunjukkan tanda dia masih hidup.

Dia kemudiannya diisytiharkan mati dan dihantar ke bilk mayat.

Wanita tersebut Zinaida Kononova, 81, dimasukkan ke Hospital Wilayah Tengah Gorshechenskaya untuk menjalani pembedahan membabitkan masalah usus tersumbat.

Selepas pembedahan membuang ketumbuhan di dalam ususnya Kononova tidak sedarkan diri dan selepas melakukan pelbagai usaha menyedarkannya yang tidak berkesan, doktor mengesahkan kematiannya.

Dia kemudiannya dipindahkan ke bilik mayat.

Keesokan harinya, pekerja di bilik mayat mendapati wanita itu masih hidup selepas menemuinya terjatuh dari katil.

Kononova kemudian dipindahkan ke hospital lain di Kursk. Dia dimasukkan ke ICU dan menjalani satu lagi pembedahan.

Namun di sebalik diberi rawatan dan pengawasan yang amat teliti, wanita itu disahkan meninggal dunia untuk kali kedua pada minggu yang sama.

Selepas pembedahan, Kononova dikatakan sedar, namun meninggal dunia tidak lama selepas itu. Kes ini masih dalam siasatan dan ramai berpendapat kes Kononova mungkin berpunca dari ketiadaan mesin yang dapat mengukur aktiviti otak sehingga menyebabkan doktor terpaksa menggunakan mata kasar untuk mencari tanda-tanda kematian pesakit mereka.

Hospital wilayah di Rusia dikatakan tidak mempunyai peralatan perubatan yang mencukupi dan sering kali mendatangkan masalah kepada pesakit.