KUCHING: Polis Sarawak mengeluarkan 10 notis kompaun di seluruh negeri kerana mengingkari  garis panduan (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kompaun itu dikeluarkan di Kuching lima kes, Betongtiga dan Sarikei dua.

“Sepanjang pemantauan pematuhan PKPP dari 10 Jun hingga 31 Ogos ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperketatkan SOP termasuk pemakaian pelitup topeng muka di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan. 

Katanya, pada Sabtu  sebanyak 1,671 premis telah dipantau iaitu pasar raya (201), restoran (322), kilang (10), bank (110), pejabat kerajaan (66), penjaja (53), pasar tani/awam (68), tempat ibadah (85), tempat riadah (46), tapak pembinaan (21) dan lain-lain (689).

JPBNS berkata,  742 anggota pematuhan PKPP yang terdiri daripada PDRM (349), Angkatan Tentera Malaysia (62), RELA (165), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (123) dan pihak berkuasa tempatan (43).

 JPBNS turut memaklumkan, pada hari ini terdapat enam sekatan jalan raya di lima daerah iaitu di Lundu (2), Bau (1), Serian (1), Sri Aman (1) dan Lubok Antu (1). 

“Daripada enam sekatan jalan raya tersebut, sebanyak 1,241 jumlah kenderaan telah diperiksa,” katanya.