Kekalahan calon Parti Perjuang Tanah Air (PEJUANG), Amir Khusyairi Tanusi yang bertanding atas tiket bebas menggunakan simbol “Pokok” pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N58. Slim yang keputusannya diumumkan semalam (29 Ogos 2020) tidaklah memeranjatkan.

Tinjauan santai yang dilakukan oleh penulis bersama dengan tiga rakannya yang lain untuk menyaksikan kempen-kempen PRK tersebut pada 23 Ogos 2020 mendapati bahawa para aktivis PEJUANG yang membantu kempen calon mereka tidak turun gelanggang untuk menang, tetapi untuk mempertahankan jumlah undi yang diterima oleh calon Parti Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada Mei 2018.

Pada PRU itu, BERSATU memperoleh 6,144 undi.

Menurut salah seorang aktivis PEJUANG dari Shah Alam yang saya temui di Bilik Gerakan Pejuang di Pekan Slim: “Oleh kerana PEJUANG kini mewarisi BERSATU sebagai pembangkang, itulah undi yang ingin kami kekalkan. Dan kalau boleh kita nak tambah seribu dua undi lagi.”

Apabila saya secara kebetulan berjumpa dengan Dr. Mazlee Malek, seorang pemimpin PEJUANG yang turun berkempen membantu calon bebas itu dan memaklumkan apa yang dinyatakan oleh aktivis parti itu, beliau memberitahu: “Tak betul, tak betul tu. Kami bertanding adalah untuk memang.”

Tetapi malangnya kemenangan yang diharapkan oleh Dr. Mazlee itu tidak menjadi kenyataan. Undi yang diharapkan meningkat oleh aktivis parti itu tidak diperoleh. Sebaliknya undi yang diterima oleh calon bebas itu merosot tidak sampai separuh yang diterima oleh BERSATU pada PRU itu.

Calon PEJUANG hanya sekadar memperoleh 2,115 undi. Kehadiran pemimpin utama PEJUANG yang lain, termasuk presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri untuk berkempen dua tiga hari menjelang hari mengundi, nampaknya tidak memberi kesan yang diingini.

Tun Dr. Mahathir seolah-olah sudah kehilangan magisnya dan tidak lagi berpengaruh untuk mengajak pengundi di Slim supaya bangkit menentang Barisan Nasional dan Muaafakat Nasional yang diterajui oleh UMNO, PAS dan BERSATU.

Jelas bagi saya dalam PRK Slim peranan yang dimainkan oleh jentera akar umbi parti, selain para pemimpin atasan Muaafkat Nasional melalui Pakatan Harapan adalah penting dalam meningkatkan jumlah undi yang diterima oleh BN.

Kehadiran jentera kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan dan Negeri Perak juga memberi manfaat kepada Barisan Nasional (BN).

Hal ini dapat saya saksikan semasa melihat kempen-kempen berjalan, bermula dengan kunjungan ke bilik operasi calon bebas yang disokong PEJUANG yang terletak di sebuah rumah kedai di Pekan Slim; diikuti dengan pelancaran kempen MIC di dewan orang ramai Trolak; kemudian singgah pula mendengar taklimat di pejabat MCA Tanjung Malim di Pekan Slim dan akhir sekali ke Dewan Tan Sri Ghazali juga di Pekan Slim untuk mendengar ceramah Muaafakat Nasional yang dibintangi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.

Sebelum itu pada sebelah petangnya, kami singgah di Bilik Gerakan UMNO yang terletak di Felda Residences, di Trolak untuk bersembang dengan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Zahrin Mohd Yassin yang turut meninjau kempen-kempen yang diadakan di DUN Slim.

Itulah rahmatnya UMNO kembali menyertai kerajaan Persekutuan dan Negeri Perak. UMNO dan BN kembali mempunyai akses kemudahan-kemudahan yang dimiliki oleh kerajaan. Selama 22 bulan sebagai pembangkang akses itu telah dinafikan.

Tidak dapat disangkal lagi, jentera akar umbilah, dibantu oleh jentera kerajaan yang banyak menentukan kejayaan.

Calon BN, Mohd Zaidi Aziz jelas mempunyai kelebihan ini yang membolehkan beliau mendapat 13,060 undi, sekali gus memperoleh 10,945 undi majoriti berbanding 2,183 pada PRU 2018.

13,060 undi yang dierima itu termasuklah sebahagian daripada 4,103 pengundi PAS dan 6,144 undi BERSATU pada PRU 2018.

Khabarnya pengundi Cina dan India yang tidak menyokong BN pada PRU 2018, ada yang sudah kembali ke pangkuan BN kerana mereka keciwa dengan kerajaan PH.

Boleh dikatakan kecuali Perdana Menteri, seluruh anggota pentadbiran Persekutuan dan negeri yang lain turut berkempen dalam PRU Slim.

Mereka datang membawa pelbagai berita baik dan janji untuk pengundi DUN Slim yang berjumlah 23,094 orang itu.

Pemuafakatan antara para pemimpin akar umbi UMNO dan PAS terserlah dalam PRK itu. Orang UMNO yang pernah dilabel kafir oleh Amanat Haji Hadi Awang satu waktu dulu dan orang-orang PAS sama-sama bertakbir menyambut kedatangan Zahid dan Hadi Awang di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi.

Dan benarlah kata orang, biduk lalu kiambang pun bertaut. Dan benar juga kata bijak pandai, dalam politik tidak perseteruan yang berkekalan. Yang ada hanyalah kepentingan bersama.

Buat waktu ini, melalui PN, para pemimpin mula menikmati kuasa pemerintahan di peringkat Persektuan. Begitu juga dengan UMNO. Setelah berada di kerusi pembangkang selama 22 bulan, mulai 1 Mac 2020, pemimpin kanan UMNO ada yang kembali menjadi menteri, timbalan menteri dan menyandang pelbagai kedudukan pengerusi dalam agensi-agensi kerajaan.

Dan sebagai tanda setuju dengan Muaafakat Nasional, sebahagian besar daripada 68.40% pemilih DUN Slim keluar mengundi dengan memangkah calon BN.

Tentu menarik untuk melihat apakah masalah utama yang dihadapi sejak sekian lama sebahagian besar penduduk DUN Slim iaitu banjir kilat yang melanda kawasan-kawasan tertentu dan kampung-kampung orang Asli yang masih belum mendapat bekalan elektrik walaupun tiang-tiang elektrik telah terpacak sejak sekian di sana akan diatasi sebelum PRU akan datang.

Begitu juga dengan isu pemilikan tanah tanpa geran dalam kalangan pekebun sayur Cina yang telah disampaikan kepada Menteri Besar sewaktu beliau berkempen akan diselesaikan dalam waktu yang segera ini.

Tugas utama Adun Slim yang baru, YB Mohd Zaidi adalah untuk menyediakan senarai lengkap janji-janji yang telah dibuat oleh para menteri, timbalan menteri, Menteri Besar Perak serta barisan EXCOnya semasa kempen berlangsung dan melakukan kerja-kerja susulan bagi memastikan bahawa janji-janji itu benar-benar dilaksanakan dan bukan sekadar janji kosong untuk meraih undi semasa PRK.