SURABAYA: Penggali kubur di dua tanah perkuburan khusus untuk mangsa Covid-19 di Surabaya, Jawa Timur dilaporkan menguburkan sekitar 1,500 mayat sejak pandemik bermula, memetik laporan Jakarta Post.

Menurut laporan itu, penggali kubur di Tanah Perkuburan Awam Keputih, Munaji mengatakan dia membantu kira-kira 800 pengebumian di tanah perkuburan tersebut.

Digabung dengan angka korban yang dikubur di Tanah Perkuburan Babat Jerawat, katanya jumlah yang dikebumikan di Surabaya mencapai 1,500 orang.

“Itu kebenaran. Jumlah pengebumian Covid-19, dari awal pandemik sehingga kini adalah 1,500,” kata Munaji seperti dikutip KompasTV.

Munaji mengatakan pada awal wabak, dia membantu menguburkan sekitar 35 mayat setiap hari dan bekerja sepanjang masa.

Walaupun dia bimbang kewujudan virus yang tidak mungkin hilang, katanya ia tanggungjawabnya meneruskan kerja dengan niat baik.

Munaji menggesa orang ramai supaya mematuhi protokol kesihatan untuk menghentikan penularan wabak itu dan mengurangkan jumlah mangsa.

Katanya, mereka yang bekerja sebagai penggali kubur berasa tertekan, kepenatan dan tertanya-tanya bila keadaan itu akan berakhir.

Jawa Timur antara wilayah paling teruk dilanda wabak di Indonedia, dengan sebagian besar kes dilaporkan di Surabaya.

Selasa lalu, Jawa Timur merekodkan 30,998 kes, dengan 24,301 sembuh dan 2,222 kematian. Surabaya menyumbang 11,628 kes, dengan 8,968 sembuh dan 900 kematian.

Jumlah pengebumian di tanah perkuburan di Surabaya lebih tinggi berbanding jumlah kematian yang disahkan, kerana kerajaan mengecualikan kematian bagi kes yang disyaki daripada data yang direkodkan, tetapi dikebumikan mengikut protokol Covid-19.

Itu juga bermaksud lebih banyak kerja dan lebih banyak PPE diperlukan untuk penggali kubur di seluruh negara.