KUCHING: Adun Ba’Kelalan Baru Bian sepatutnya sedar tujuan Seksyen 6 dan 6A Kanun Tanah Negeri seperti yang dipinda sebelum ini.

Ketua Penerangan PBB Datuk Idris Buang berkata, perkara yang dijelaskan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Miri dua hari lepas bagi memudahkan orang ramai memahaminya dengan memberi contoh mudah.

“Bagaimanapun, Baru memilih untuk bermain politik dan memberi alasan undang-undang yang di luar pemahaman semua.

“Pemberian surat hak milik tanah kepada Baru merupakan bukti kesungguhan Kerajaan Sarawak mengiktiraf hak rakyat di bawah Seksyen 18 tanpa prejudis,” katanya.

Beliau berkata demikian semalam sebagai respons kenyataan Baru berhubung pengeluaran surat hak milik tanah yang diterima keluarga Ahli Parlimen Selangau itu.

Idris menambah, wilayah domain (TD) yang dituntut oleh komuniti Baru di Lun Bawang merupakan kawasan luas apabila disukat di bawah Seksyen 6.

“Kawasan itu dikenal pasti secara eksklusif sebagai hak komuniti Lun Bawang berbanding pihak lain.

“Penyukatan di bawah Seksyen 6 mungkin tidak dapat dilakukan sekiranya Baru dan keluarganya membantah tetapi mereka juga tidak pernah membantah,” jelasnya.

Tegasnya, dengan kebisuan Baru dalam hal terbabit membuktikan beliau bersetuju dengan proses penyukatan tanah di bawah Seksyen 6 sebelum dilanjutkan ke Seksyen 18.

“Penyukatan tanah di bawah Seksyen 18 untuk menjimatkan masa apabila wilayah domain dibahagikan kepada lot individu sebelum dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 6.

“Saya menggesa penduduk Sarawak tidak terpengaruh dengan komen berniat jahat mengenai pengiktirafan tanah NCR oleh Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Idris yang juga Adun Muara Tuang memberitahu, fakta membuktikan penyukatan di bawah Seksyen 6 hanya transit atau pendahulu kepada Seksyen 18 untuk membantu mempercepatkan pengeluaran surat hak milik tanah seperti yang diberi kepada Baru dan keluarganya.