KUCHING: Menyediakan Vitamin C untuk kakitangan, menjadi antara inisiatif proaktif Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dalam melaksanakan langkah pencegahan Covid-19.

Pada masa sama, syarikat itu turut memastikan pematuhan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi mengutip, mengangkut, merawat dan membuang sampah.

“Ini termasuk prosedur pembersihan kenderaan yang ketat, penyediaan peralatan pelindungan diri (PPE), penyediaan sanitasi tangan, pemeriksaan suhu badan dan banyak lagi,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan kelmarin.

Selain itu pada Mei, Trienekens meneruskan operasi kaunter perkhidmatan pelanggannya di ibu pejabat dan depo dengan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang dipertingkatkan.

“SOP yang ketat seperti penjadualan janji temu, pengisian borang pernyataan kesihatan, pemeriksaan suhu badan, penyediaan sanitasi tangan, amalan penjarakan fizikal dan pembersihan kemudahan secara berkala dilaksanakan untuk memastikan premis syarikat tetap menjadi persekitaran yang selamat untuk semua orang,” katanya.

Pengunjung ibu pejabat Trienekens di Jalan Sungai Tapang sama ada pelanggan, kontraktor dan pembekal turut diingatkan untuk mematuhi garis panduan keselamatan perkhidmatan pelanggan.

“Pengunjung disaran membuat janji temu dengan menghubungi talian 082-612300 sebelum datang ke ibu pejabat dan depo Trienekens.

“Pengunjung juga diminta melengkapkan borang pengisytiharan kesihatan semasa tiba pada hari janji temu mereka serta mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.