KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi semasa mencelah dalam sesi pertanyaan lisan di persidangan Dewan Rakyat memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya benar-benar melaksanakan projek pembinaan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa projek berkenaan akan dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), beliau berharap agar ia dapat dilaksanakan dalam rolling plan yang pertama atau yang kedua dalam RMK-12, memandang projek tersebut amat diperlukan segera demi menjamin keselamatan penduduk yang semakin meningkat.

Menjawab permohonan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Dato’ Sri Dr. Hj. Ismail Hj. Mohamed Said berkata, pihak kementerian mengambil maklum akan projek tersebut dan pengkajian akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.