ITALI: Polis bandar Castiraga Vidardo, Lombardydi mengarahkan lelaki berusia 83 tahun membayar saman 166 euro (RM818.3) selepas dia gagal menghalang ayam jantannya dari berkokok pada 4:30 pagi.

Kokokan ayamnya itu menyebabkan jirannya membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Angelo Boletti, pesara didapati bersalah melanggar peraturan ditetapkan iaitu haiwan peliharaan mesti diletakkan pada jarak minimum 10 meter dari kediaman jiran.

Namun jarak bukanlah isu utama dalam kes ini, kerana yang menjadi kontroversi ialah bunyi kokokan ayam tersebut.

Ayam bernama Carlino itu berkokok seawal 4:30 pagi pada setiap hari dan kokoknya menyebabkan jiran terbangun.

Setelah menerima aduan, polis melakukan pengawasan terhadap Carlino, dan setelah mengesahkan waktu kokok ayamnya, mereka bertindak menyamannya.

Carlino dikatakan mula berkokok 4.30 pagi dan tidak akan berhenti sehingga 6 pagi.

Datuk Bandar Castiraga Vidardo, Emma Perfetti, memberitahu pihak berkuasa tiada pilihan dan terpaksa bertindak dalam kes ini ekoran menerima terlalu banyak aduan jiran Boletti.

Apabila Boletti mengadu tiada menerima sebarang amaran sebelum di saman, Datuk Bandar memberitahu polis berkunjung ke rumahnya pada awal Julai dan memberitahunya berkaitan peraturan jarak haiwan.

Dalam rayuannya Boletti memberitahu mereka, ayam tersebut hanya berada di kediamannya untuk sementara waktu.

Menurutnya Carlino menjadi ayam peliharaannya 10 tahun, namun dia terpaksa memberikannya kepada kawannya selepas jirannya mengadu tentang kokokan Carlino.

Ketika ini haiwan itu dijaganya buat sementara waktu kerana rakannya sedang bercuti. Boletti mengatakan dia tetap membuat rayuan agar saman itu dapat dibatalkan.