KUCHING: Seorang lelaki yang mengaku bersalah mendatangkan kecederaan terhadap bapa kandungnya yang berusia 52 tahun menggunakan tombak besi dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 ataupun tiga bulan penjara, semalam.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar mengarahkan lelaki berusia 31 tahun itu dipenjara dan didenda setelah mengaku mendatangkan kecederaan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tertuduh melakukan kesalahan itu sekitar jam 6 petang di rumah mereka di Penempatan Baru Skim Stampin pada 1 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua iaitu menyebabkan kerosakan dengan memecahkan tingkap rumah yang menyebabkan mangsa kerugian RM200, lelaki itu didenda RM2,000 ataupun tiga bulan penjara.

Menurut fakta kes, pada 1 Ogos lalu sekitar jam 6 petang, anak lelaki pengadu telah mengamuk di dalam rumah setelah ditegur pengadu kerana menggunakan sebilah kapak memecahkan tingkap dan dinding rumah.

Sikap panas baran suspek telah menguasai dirinya dan dia telah mengambil sebilah tombak besi dan membalingkannya ke arah bapanya, seterusnya mengalami sedikit luka di bahagian kaki kiri.

Pengadu yang berasa takut dengan tindakan suspek telah menghubungi pihak polis untuk bantuan dan tertuduh telah ditangkap oleh anggota unit MPV sekitar jam 11.30 malam.