KABONG: Tiga orang termasuk pasangan suami isteri diberkas pihak polis kerana terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin mengesahkan perkara berkenaan dan menjelaskan mereka yang terlibat ditahan dibawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Menurut Mordani, dalam tangkapan pertama satu pasangan suami isteri yang masing-masingnya berumur 21 dan 18 tahun itu ditangkap dan dilakukan ujian air kencing jam 11.30 pagi di Balai Polis Saratok.

Hasil ujian saringan air kencing yang dibuat mendapati pasangan suami isteri itu positif dadah jenis Metamfetamin (METH) dan Amfetamin (AMPH).

Dalam satu lagi kes seorang lelaki berusia 22 tahun diberkas polis selepas melakukan tindakan agresif di kediamannya dan mengancam keselamatan keluarga.

Suspek kemudiannya ditangkap polis dan dilakukan saringan air kencing yang didapat positif dadah jenis Metamfetamin (METH) dan Amfetamin (AMPH).

Kesemua suspek yang terlibat kini ditahan di lokap polis di Saratok untuk siasatan lanjut.

Sehubungan dengan itu Mordani menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama dan melaporkan sebarang bentuk kejadian jenayah di tempat mereka supaya pihak polis boleh melakukan tindakan bagi membendung kegiatan jenayah tersebut daripada terus berleluasa dan mewujudkan suasana tidak selamat dalam kalangan penduduk.