Sunday, December 5, 2021

20 kawasan berisiko banjir dipantau rapi

Secara Rawak

BETONG: Ekoran ramalan cuaca buruk sehingga hujung bulan ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tiga Sri Aman meningkatkan pemantauan di sekitar 20 kawasan berisiko banjir.

Ketuanya Ramlan Marajan berkata, bomba telah mengenal pasti beberapa kawasan yang mungkin berlaku banjir.

“Berdasarkan analisis awal, balai-balai kita telah melakukan tinjauan ke kawasan tersebut. “Di bawah seliaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, fokus kita di kawasan Jalan Kejatau, rumah panjang Imau, Tanjung Batang Ai, Engkilili, Kampung Ijok, Langkang Ulu dan Ili, Kampung Tawai, Kampung Ubah, Tekuyong, Issu dan Empling Pantu.

“Sementara itu, terdapat beberapa kawasan di bawah seliaan BBP Betong seperti Penyelanih, Kampung Bungey, Babu, Lalang Debak, Buloh Antu, Padeh, rumah panjang Manggat, Sungai Paku, Entalun, Skrang, Sungai Pelanduk, Paku, Tabut, Tembong, Kejemut, Lipat dan SK Tabut.

“Bagi kawasan seliaan BBP Saratok pula merangkumi Nanga Budu, Jalan Bajau, Nanga Atoi, Sungai Endot Kabong, Jalan Supok, Jalan SK Kabo dan rumah panjang Tanjung Baru,” katanya kelmarin.

Pihaknya turut memastikan kesemua peralatan menyelamat seperti tali, bot, personal floating device (PFD) serta keperluan lain sentiasa dalam keadaan baik dan boleh digunakan.

“Malah, kita sedia memantapkan kecekapan anggota dengan aktiviti latihan berkaitan penggunaan peralatan menyelamat, pengendalian bot serta tugas-tugas menyelamat di peringkat balai masing-masing.

“Dalam masa yang sama, saya menasihatkan orang ramai agar lebih peka dengan kawasan persekitaran termasuk amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa melalui media,” ujarnya.

“Simpan nombor telefon penting bagi kegunaan kecemasan dan meletakkan dokumen penting, barang berharga di tempat tinggi serta mudah diambil sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan,” tambahnya.

Ramlan juga mengesyorkan pihak bertanggungjawab mahupun penduduk agar menyelenggara sistem saliran supaya tidak tersumbat.

Beliau terdahulu mengadakan kunjungan hormat ke atas Residen Bahagian Betong Friday Belik sambil diiringi Ketua Bomba dan Penyelamat Betong Vincent Baling Yabi dan Pengawai Operasi Henry Jugah.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru