KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Malaysia memandang serius pendedahan menggemparkan di Parlimen pada Isnin oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz bahawa sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan (PH), sebanyak 101 projek perolehan berjumlah RM6.61bilion ditawarkan oleh kerajaan secara rundingan terus.

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ini bukan sahaja satu lagi penipuan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang selama ini mendakwa PH mengamalkan ‘tender terbuka’ sebagaimana janji manifesto PH, tetapi merupakan suatu bentuk perompakan kepada harta rakyat.

“Penipuan Guan Eng lebih terserlah apabila Menteri Kanan Datuk Seri Azmin Ali bangun menyanggah beliau di Dewan Rakyat bahawa 101 projek rundingan terus terbabit tidak pernah dibincangkan di Kabinet.

“Pemuda UMNO dengan ini mendesak agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat perkara ini agar sebarang penyelewengan dapat dibongkarkan buat pengetahuan rakyat,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Justeru kata Dr Asyraf lagi, Pemuda UMNO menggesa pihak kerajaan agar mendedahkan kepada umum senarai 101 projek yang terbabit agar rakyat dapat mengetahui hakikat sebenar rompakan besar sepanjang 22 bulan pemerintahan PH.