DUNEDIN: Sameer Anwar, 7, sedang menghidu kek cawan yang dihidangkan ibunya apabila sekeping mainan lego tiba-tiba terjatuh dari hidungnya.

Kira-kira dua tahun sebelum ini, kanak-kanak tersebut memberitahu ibu bapanya dia meletakkan sekeping lego di dalam hidungnya.

Menurut bapanya , Mudassir Anwar, dia dan isterinya cuba mengeluarkan mainan tersebut tetapi tidak berjaya.

Mereka juga membawa Sameer ke klinik tetapi pihak klinik gagal mengesan mainan itu.

Malah doktor memberitahu mereka mungkin Sameer hanya berkhayal dan tidak memasukkan apa-apa di dalam hidungnya.

Jika dia memasukkannya pun saiz mainan yang sekecil itu akan memasuki bahagian penghadamannya dan keluar melalui najis..

Selepas itu Sameer tidak pernah mengadu berkaitan lego itu lagi dan mereka juga hampir lupa dengan insiden tersebut.

Namun pada minggu lepas selepas menghidu kek cawan itu, dia memberitahu ibu bapanya hidungnya berasa sakit dan terasa seperti ada sesuatu melekat di dalam hidungnya.

Ibunya segera memintanya menghembus hidung dan tiba-tiba mainan lego itu terjatuh di atas tisu yang dipegang Sameer.

Menurut Anwar, lego itu sudah diselaputi kulat.